Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan hadiah kepada peserta gerai yang mengambil bahagian sempena Majlis Aidilfitri JBPM Pahang di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota, di Kuantan pada semalam

KUANTAN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mencadangkan pembinaan empangan dan telaga tiub di lokasi yang sesuai bagi bersiap-siaga menangani kebakaran hutan akibat cuaca panas.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, cadangan itu sebagai alternatif menghadapi insiden kebakaran hutan akibat fenomena cuaca panas yang ekstrem di seluruh negara.

Menurutnya,  penggunaan empangan dan telaga tiub sangat efektif dalam operasi pemadaman kebakaran hutan terutamanya di kawasan yang tidak mempunyai akses air atau sumber air yang terhad.

”Sebanyak 406 kawasan di seluruh negara telah dikenal pasti sebagai titik panas dan berisiko berlaku kebakaran terbuka.

“Kita telah menyarankan supaya lokasi yang dikenal pasti ini disediakan empangan dan telaga tiub dengan kerjasama antara JBPM negeri dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk mengenal pasti lokasi-lokasi baru yang bersesuaian.

“JBPM juga telah merancang untuk membuat perolehan tambahan termasuk pam mudah alih bagi kegunaan operasi,” katanya.

Abdul Wahab berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Aidilfitri JBPM Pahang di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota malam tadi.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengarah JBPM Pahang, Datuk Dr Ir Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.

Jelas Abdul Wahab, peruntukan untuk penambahan perolehan berkenaan bagi tahun 2023 sudah diluluskan dan kini dalam proses tender terbuka.

Di samping itu, JBPM peringkat negeri telah diarahkan untuk membuat rondaan awal di kawasan dikenalpasti dan bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).

Antara titik panas telah dikenal pasti di negeri ini antaranya di kawasan Tebu Hitam, Rompin, Pekan serta Penor dan Gebeng, di Kuantan.

JBPM sudah bersiap menghadapi kes-kes kebakaran terbuka terutama melibatkan kawasan tanah gambut.

”Sebagai langkah  persediaan awal, semua aset yang diperlukan telah diselenggara dan berada dalam keadaan sedia digunakan untuk operasi pemadaman sekiranya berlaku kebakaran,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast