Saadon (berdiri, tengah) beramah mesra dengan rakan strategi yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang di Batu Kawan hari ini.

BATU KAWAN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang telah mengenal pasti 28 kawasan yang berisiko berlakunya pembakaran terbuka akibat cuaca panas.

Pengarahnya, Saadon Moktar berkata, ia membabitkan tapak pelupusan sampah, tanah perkuburan Cina, kawasan hutan, kebun dan belukar.

Jelas beliau, daripada jumlah itu, kebakaran hutan merekodkan jumlah tinggi berisiko berlakunya kebakaran terbuka iaitu 16 lokasi.

Saadon.

Antara lokasi risiko kebakaran hutan itu adalah Hutan Bukit Bendera dan Hutan Bukit Kukus di Paya Terubong; Hutan Bukit Jambul di Bayan Lepas; Hutan Bukit Gambir di Gelugor; Hutan Jalan Kubang Menerung di Tasek Gelugor; Hutan Empangan Mengkuang di Bukit Mertajam dan Hutan Pulau Aman di Simpang Ampat.

“Pihak Bomba Pulau Pinang bersedia menghadapi sebarang insiden kebakaran akibat cuaca panas ketika ini dan kita juga sentiasa membuat pemantauan di kawasan yang dikenal pasti berisiko berlaku kebakaran terbuka.

“Selain itu, kita juga ingin nasihatkan orang awam agar tidak melakukan pembakaran terbuka bagi memastikan keselamatan semua orang,” katanya kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri di sini hari ini.

Ketika diminta mengulas mengenai kekurangan bekalan air yang dibimbangi mampu menjejaskan operasi pemadaman api pihak bomba, Saadon berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa lokasi untuk akses bekalan air terbuka sekiranya perlu.

“Kita ada kira-kira 13,000 pili bomba di seluruh negeri ini yang diselenggara dengan baik. Malah, kita juga mempunyai empat lori tangki serta bantuan tangki air daripada bomba sukarela.

“Buat masa ini kita tidak menghadapi sebarang kekangan daripada segi bekalan air namun dalam masa kita sudah kenal pasti lokasi sungai serta aliran air terbuka untuk diakses sekiranya perlu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast