Norlela (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian daripada 264 basikal elektrik dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka daripada sindiket penyeludupan basikal elektrik pertama di Melaka bernilai lebih RM742,000.

MELAKA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka berjaya mematahkan sindiket penyeludupan basikal elektrik atau e-bike pertama di negeri ini bernilai lebih RM742,000.

Pengarahnya, Norlela Ismail berkata, rampasan pada Februari lalu itu melibatkan 264 unit basikal yang dipercayai dibawa masuk melalui Pelabuhan Klang tanpa lesen import dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Menurutnya, modus operandi digunakan syarikat yang telah beroperasi selama lebih lima tahun itu adalah dengan mengikrar ia sebagai alat ganti basikal sedangkan basikal elektrik yang lengkap diimport dari negara China itu tertakluk kepada lesen dan duti import.

“Hasil serbuan itu, JKDM Melaka berjaya membuat serbuan dan menyita 264 unit basikal elektrik di Kawasan Perindustrian Tasik Utama Melaka yang perlu tertakluk kepada lesen import yang dikeluarkan MITI.

“Dagangan ini telah diimport dengan diikrar sebagai alat ganti basikal sedangkan dagangan sebenarnya adalah basikal elektrik yang lengkap dan tertakluk lesen import melibatkan nilai dan duti berjumlah RM742,479.53,” katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Ayer Keroh di sini hari ini.

Menurutnya, dalam risikan selama enam bulan itu, pihaknya turut menahan pemilik syarikat terbabit berusia 60-an dan menjadi sindiket penyeludupan basikal elektrik pertama ditumpaskan di negeri ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 dan boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga tujuh tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Nolela berkata, kejayaan itu adalah antara empat kegiatan penyeludupan terbesar yang berjaya dipatahkan JKDM Melaka dalam tempoh enam bulan sejak Disember lalu melibatkan jumlah keseluruhan RM 6.5 juta.

Kejayaan lain adalah rampasan 405,600 tin minuman keras, 3.2 juta batang rokok putih serta 90 unit topi keledar motosikal yang tidak memenuhi standard ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast