3R DAP Ir. Khairil Nizam Khirudin paranoia Rafizi peruntukan pembangkang
Khairil Nizam Khirudin

KUALA LUMPUR – Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan hanya mengulangi skrip politik dendam kesumat apabila mengetepikan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin berkata, ia amat bertentangan dengan agenda yang pernah Anwar perjuangkan semasa menjadi Ketua Pembangkang.

“Kami mengulangi gesaan ini kerana kepentingan rakyat perlu diutamakan, bukan hanya survival politik yang menafikan hak wakil rakyat pembangkang yang sah dipilih oleh rakyat.

“Peruntukan juga perlulah diberikan tanpa syarat. Hormatilah pilihan rakyat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sebelum ini, Anwar pernah menyatakan kesediaannya untuk menyalurkan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang sekiranya mereka mahu berunding dengannya mengenai perkara itu.

Khairil Nizam yang juga Ahli Parlimen Jerantut menggesa kerajaan mengambil panduan dan semangat daripada titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah agar wakil rakyat pembangkang juga diberi peruntukan yang adil.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15, kelmarin. – MalaysiaGazette