Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Tindakan jijik seorang lelaki yang disyaki melakukan amang seksual ke atas seorang gadis remaja perempuan yang merupakan anak tirinya menerima balasan apabila dicekup polis.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, suspek merupakan seorang warga tempatan berusia 30-an  ditahan di kawasan Sungai Buloh hari ini.

“Turut ditahan dalam serbuan adalah seorang wanita di mana sebelum ini dia juga diberkas berkaitan satu kes amang seksual di Puncak Alam.

“Kami ada menerima laporan polis yang dibuat oleh mangsa insiden pada 8 Mei lalu jam lebih kurang 3.46 petang di Balai Polis Saujana Utama berkaitan amang seksual yang melibatkan suspek bapa tiri kepada mangsa.

“Mangsa adalah seorang gadis berusia 15 tahun enam bulan dan kejadian itu dikatakan berlaku terhadap gadis itu pada bulan Januari 2023 dan polis juga mendapati mangsa tidak bersekolah,” katanya apabila dihubungi hari ini.

Tambah Shafa’aton, bertindak atas laporan polis itu, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sungai Buloh telah menjejaki dan menahan suspek lelaki yang merupakan bapa tiri kepada mangsa.

Katanya, wanita berkenaan turut ditahan polis kerana disyaki telah bersubahat dengan suspek dalam melakukan perbuatan terkutuk itu.

“Siasatan awal yang dijalankan polis juga mendapati suspek melakukan perbuatan itu ke atas mangsa di sebuah hotel pada Januari lalu.

“Kedua-dua suspek kini berada dalam lokap IPD dan mereka akan diheret ke mahkamah esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman untuk membantu siasatan lanjut polis dalam kes ini,” ujarnya.

Kes berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kanak-Kanak 2001. – MalaysiaGazette