Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduaan di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 07 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Berdasarkan dinamika politik hari ini amat sukar untuk sesiapa pun dalam kalangan ahli Parlimen daripada mana-mana parti menjayakan Langkah Sheraton 2.0.

Felo Institusi Kajian Pilihan Raya dan Pemajuan Demokrasi (IESAD), Universiti Selangor, Dr. Madhi Hasan berkata, walaupun negara digegarkan dengan angka 126 sejak seminggu lalu, ia tidak lebih dicetuskan oleh pengigau yang terdesak.

Katanya, rakyat masih lagi merasai bahana daripada Langkah Sheraton tahun 2020 yang menyebabkan negara terjerumus dalam krisis politik selama hampir tiga tahun.

Dr. Madhi Hasan

Justeru, beliau menggariskan lapan sebab kenapa senario politik hari ini amat berbeza dengan awal 2020 yang memungkinkan berlakunya Langkah Sheraton.

Antaranya, kata beliau, undang-undang Anti Lompat Parti yang menghalang wakil rakyat daripada melompat dan mengkhianat parti.

“Kedua, tiada lagi musuh dalam selimut iaitu kewujudan kelompok pengkhianat yang sebelum ini antara sebab punca kejatuhan sesebuah kerajaan.

“Ketiga, kepimpinan yang jelas. Berbanding sebelum ini, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika diangkat sebagai Perdana Menteri ketujuh terikat dengan janjinya untuk menyerahkan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Keempat, faktor “R” iaitu Race, Religion dan Royalty yang dijadikan senjata utama oleh musuh untuk melemahkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menang pada PRU14,” katanya di sini hari ini.

Dr. Madhi yang juga Pengerusi Persatuan Pengupayaan Rakyat Negeri Perak berkata, sebab kelima ialah percaturan politik Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menjadi kingmaker bagi mencukupkan angka untuk menumbangkan kerajaan PH.

Katanya, ketika itu, BN dan GPS bagai orang mengantuk disorongkan bantal kerana telah melalui sengsara apabila kehilangan kuasa selama hampir dua tahun.

Keenam menurut beliau, ketiadaan calon Perdana Menteri untuk ditampilkan oleh PN kerana gerakan politik yang besar memerlukan pemimpin yang kuat untuk tampil sebagai pemegang teraju.

“Namun, siapakah tokoh yang akan ditampilkan sebagai calon Perdana Menteri oleh pihak pembangkang jika Anwar dijatuhkan?

“(Tan Sri) Muhyiddin Yassin sudah tergolong dalam kluster mahkamah dan rekodnya sebagai Perdana Menteri kelapan jauh dari memberangsangkan.

“(Tan Sri) Abdul Hadi Awang pula membawa imej dan jalur pemikiran yang sukar diterima oleh masyarakat bukan Islam dan untuk angkat Dr. Mahathir kali ketiga agak mustahil kerana kalah teruk dalam PRU-15,” katanya.

Seterusnya, sebab ketujuh ialah Power of Incumbency, yang mana seorang Perdana Menteri perlu mempunyai kuasa yang sangat besar.

Ujar beliau, bagi Anwar yang merangkap Menteri Kewangan memiliki Power of Incumbency yang membolehkannya untuk menundukkan orang lain dengan mudah.

“Pihak pembangkang yang hendak menjatuhkannya tidak mempunyai apa-apa selain janji dan harapan yang dipenuhi ketidakpastian.

“Terakhir sekali, pembangkang ketandusan isu besar berbanding sebelum ini menggunakan ICERD, kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib, dakwaan kononnya kerajaan menjual aset Tabung Haji dan isu tulisan Jawi di sekolah.

“Isu ini memberi pukulan kepada PH dalam menghadapi beberapa pilihan raya kecil (PRK), manakala isu pengeluaran simpanan KWSP dan kenaikan kadar OPR hanyalah isu rutin yang dapat ditangani dengan mudah,” katanya.

Tambahan pula, katanya, pembangkang kini gagal memainkan peranannya dengan berkesan di peringkat legislatif apabila pemimpinnya seringkali gagal menghadiri sidang Parlimen.

Kata beliau, tanpa adanya isu besar, tidak ada alasan kukuh untuk kerajaan sekarang ditumbangkan atau mana-mana parti komponen menarik balik sokongan terhadap Anwar.

“Kesimpulannya, segala desas-desus yang dimainkan pembangkang mengenai perubahan kerajaan pada masa ini akan jadi tidak lebih daripada perang saraf dan propaganda.

“Pemimpin pembangkang pula akan terus mencuba, tetapi mereka pun tahu kebarangkalian untuk berjaya sangat tipis.

“Namun, ia tetap berguna untuk memberikan harapan kepada penyokong pembangkang menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast