Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) dan Tun Abdul Razak

KUALA LUMPUR – Kemampuan Perdana, Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyatukan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan akan diuji pada pilihan raya di enam negeri.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, jika Anwar berjaya ia akan mengikuti langkah bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak yang menubuhkan Barisan Nasional pada 1974.

Katanya, sekiranya gabungan Perikatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan selesa kemungkinan kerjasama kedua-dua parti di Semenanjung akan mengalami perubahan kualitatif yang menjurus kepada transformasi bentuk dan intipati.

“Satu sejarah politik di peringkat nasional sedang dalam pembikinan serupa sedikit sebanyak apa yang Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Kedua lakukan menjelang Pilihanraya Umum tahun 1974 apabila satu gabungan super mega bernama Barisan Nasional terbentuk menggantikan gabungan Perikatan.

“Apakah Anwar Ibrahim mengikut jejak Tun Abdul Razak?” tanya beliau.

Justeru katanya, Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (KLWTC) Ahad ini wajar diberi perhatian serius.

Katanya, langkah mengadakan konvensyen tersebut merupakan satu inisiatif positif bagi Kerajaan Perpaduan dan menjadi petanda ia bukan sekadar muafakat semusim.

Tambah Hassan, usaha secara sedar atau tidak itu diatur untuk membentuk satu pakatan berupa super gabungan mega yang memayungi gabungan PH dengan BN.

“Jika Anwar Ibrahim berjaya memimpin gabungan parti-parti di dalam kerajaan perpaduan memasuki pilihanraya di enam negeri nanti dengan keadaan tersusun dan teratur, tidak bertanding melawan sesama sendiri, sebaliknya.

“Siapa jua calon-calon yang bertanding adalah mewakili kehendak dan mandat dari kerajaan perpaduan walau apapun logo parti yang dipakai, maka imej kerajaan perpaduan akan muncul dengan wajah yang penuh wibawa mewakili gabungan super mega.

“Menang atau kalah dalam pilihanraya di enam negeri akan datang ini mempunyai kesan kepada kelangsungan survival kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim,” kata beliau.

Abdul Razak adalah tunjang dalam pengukuhan perpaduan serta memainkan peranan penting dalam penubuhan BN pada tahun 1971.

Pembentukan BN menerusi penambahan komponen Perikatan (UMNO, MCA dan MIC) dengan musuhnya sebelum ini, Gerakan, PPP dan Pas serta beberapa parti dari Sabah dan Sarawak adalah susunan politik yang unik pada masa itu. – MalaysiaGazette