Hamzah Zainuddin

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mendakwa cubaan mengaitkan nama beliau dalam empat pertuduhan rasuah membabitkan individu bernama Sim Choo Thiam bertujuan merosakkan namanya, Bersatu dan Perikatan Nasional.

Beliau juga melahirkan rasa janggal dan hairan apabila namanya disebut dalam pertuduhan membabitkan projek-projek Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang pernah diterajuinya sedangkan beliau tiada pembabitan langsung.

“Bila diperhalusi keempat-empat pertuduhan tersebut ia menyebut bahawa suapan adalah untuk “mendapatkan apa-apa projek milik agensi-agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri”. Jadi apakah projek yang menjadi hal perkara rasuah yang dimaksudkan?” soalnya dalam kenyataan malam ini.

Hamzah mendakwa pertuduhan sebegitu sengaja diada-adakan dan dibuat sedemikian rupa untuk mengheret namanya dalam perkara yang tidak langsung membabitkan beliau.

Katanya, pertuduhan itu juga merupakan siri fitnah untuk menekan orang serta ahli perniagaan tertentu supaya memalitkan dan menuding jari terhadapnya demi mencemarkan nama beliau.

“Lebih janggal apabila saya hanya dirakam keterangan pada petang ini bermula kira-kira pukul 4.30 petang hingga pukul 7 malam oleh pegawai SPRM selepas pertuduhan ke atas Sim Choo Thiam telah dibawa ke mahkamah.

“Pertuduhan yang mengheret nama saya ini jelas bertujuan untuk merosakkan nama baik saya, BERSATU dan Perikatan Nasional.

“Lebih-lebih lagi Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO sendiri sebelum ini secara terbuka menyebut rancangan untuk mewujudkan kluster mahkamah dari kalangan pemimpin BERSATU dan Perikatan Nasional,” katanya.

Ahli Parlimen Larut itu mendakwa, perkembangan terbaharu ini adalah kerana mereka bimbang dengan kekuatan Perikatan Nasional, yang mana sokongan rakyat akan diterjemahkan sekali lagi dalam pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi.

“Saya juga faham ada pihak tertentu yang panik dengan kedudukannya yang sedang goyah ketika ini tetapi janganlah bertindak sehingga menyebabkan rakyat merasakan SPRM boleh diperalat oleh pemimpin tertentu,” katanya sambil mengucapkan tahniah atas pelantikan semula Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Katanya, beliau percaya pelanjutan setahun lagi itu tiada muslihat tertentu. – MalaysiaGazette