Anthony Loke (tengah) bersama  Menteri Pengangkutan Singapura, S Iswaran (Kiri) ketika meninjau perkembangan projek Sistem Transit Rapid R-T-S Link Johor Bahru-Singapura di Stulang Laut, Johor Bahru, Johor.

JOHOR BAHRU – Kementerian Pengangkutan masih meneliti kertas cadangan projek pelaksanaan semula Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, membabitkan pelaburan swasta.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya perlu meneliti  terlebih dahulu model pelaksanaan dan pembiayaan projek pembinaan yang sepenuhnya dibiayai oleh syarikat swasta.

“Kita pada peringkat ini masih lagi untuk mendapatkan maklum balas memang ada beberapa syarikat swasta daripada Malaysia yang ada minat untuk melaksanakan projek ini.

“Namun begitu kita perlu meneliti terlebih dahulu model pelaksanaan model pembiayaan dan sebagainya tetapi prinsip yang telah dinyatakan secara jelas oleh kerajaan Malaysia.

“Oleh kita mengalu-alukan projek ini disambung semula tetapi dengan pembiayaan pihak swasta. Itu adalah pendirian kita,” katanya selepas melakukan lawatan kerja di projek RTS Link, di sini, hari ini.

Menurut Anthony, kementerian kini juga masih di peringkat maklum balas berikutan terdapat beberapa syarikat menyatakan minat melaksanakan HSR.

Tambah beliau, isu pelaksanaan semula HSR adalah antara perkara yang dibincangkan dengan Menteri Pengangkutan Singapura, S Iswaran, dalam pertemuan dua hala tengah hari tadi.

Katanyam Malaysia memaklumkan Singapura bahawa ia terbuka kepada cadangan pelaksanaan semula HSR Kuala Lumpur-Singapura selagi projek tersebut membabitkan pelaburan swasta.

Projek H-S-R yang tergantung pelaksanaannya sebelum ini dijangka dapat mengurangkan masa perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada hanya 90 minit.

Projek berkenaan dibatalkan pada 1 Januari 2021 dengan Malaysia perlu membayar pampasan RM320 juta kepada Singapura sebagai sebahagian daripada tanggungjawabnya menurut perjanjian dua hala.

Sementara itu Menteri Pengangkutan Singapura, S Iswaran berkata, pihaknya bersedia untuk melihat cadangan Malaysia berhubung projek berkenaan.

Terdahulu Anthony dan rakan sejawatnya itu meninjau perkembangan projek Sistem Transit Rapid R-T-S Link Johor Bahru-Singapura di Stulang Laut, Johor Bahru.

Projek R-T-S sepanjang empat kilometer yang menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands di Singapura bertujuan mengurangkan kesesakan di Tambak Johor.

Ia akan menyokong kapasiti puncak sebanyak 10,000 penumpang setiap sejam di setiap hala dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2026 dan akan beroperasi pada 1 Januari 2027.-MalaysiaGazette