Imbasan kecederaan pada leher pelajar Tahun 2 yang mengalami kecederaan ketika main bola di sekolah di Lebuh Farquhar, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Seorang pelajar Tahun 2 dilaporkan mengalami kecederaan serius di leher ketika bermain bola sepak semasa kelas Pendidikan Jasmani di sebuah sekolah rendah di Lebuh Farquhar di sini, baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Tikus Chris Lee Chun Kit yang mewakili Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada 6 Mei lalu selepas ibu mangsa memuat naik kejadian itu menerusi media sosial.

Jelasnya, satu pertemuan sudah diadakan bersama ibu dan murid berkenaan bagi memberi sokongan emosi.

Chun Kit.

“Selain itu, kita juga mendapatkan maklumat berhubung kejadian sebelum mengadakan  mesyuarat bersama wakil sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Pejabat Pendidikan Daerah Timur Laut.

“Kita kesal atas kejadian yang menimpa kanak-kanak itu hingga mengakibatkan kecederaan ke atasnya.

“Justeru, saya memohon supaya tiada sebarang spekulasi dibuat mengenai perkara itu dan yakin semua pihak sudah melakukan yang terbaik bagi mencegah kejadian daripada berulang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sementara itu, mengenai dakwaan ibu bahawa mangsa dibuli Chun Kit berkata, kejadian itu berlaku semasa kelas Jasmani dan sekiranya ada sebarang masalah disiplin, kerjasama penuh dengan semua pihak berkaitan akan diambil bagi memastikan keselamatan murid itu.

“Buat masa ini, pelajar berkenaan masih dikehendaki memakai pendakap leher dan saya merayu kepada semua pihak termasuk media supaya memberi ruang kepada keluarga berkenaan bagi pulih sepenuhnya.

Terdahulu, menerusi hantaran terbabit ibu mangsa mendakwa dia sudah memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah tetapi tidak menerima maklum balas selain enggan mengambil tindakan terhadap pembuli anaknya.

Akibat kejadian itu, ibu mangsa mendakwa leher anaknya mengalami kecederaan serius pada vertebra serviks dan otot sehingga menjejaskan bahu dan kakinya selain doktor mengesahkan murid itu memerlukan terapi fizikal jangka panjang untuk pulih. – MalaysiaGazette