Wanita SPRM
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Semua siasatan yang dilakukan  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah berdasarkan maklumat serta bukti sahih yang diperolehinya.

Menurut SPRM, kertas siasatan yang telah dilengkapkan dengan penemuan elemen-elemen kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 serta akta berkaitan kemudian dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk pertimbangan sewajarnya.

“Tohmahan oleh seorang bekas Menteri yang mengatakan SPRM sengaja mengada-adakan siasatan bagi tujuan pertuduhan untuk mencemarkan namanya adalah tidak benar sama sekali dan dakwaan itu telah menjejaskan imej suruhanjaya ini.

“Setiap tindakan sama ada semasa proses siasatan atau selepas pertuduhan, ia telah dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang berdasarkan prinsip bebas, telus dan profesional serta tidak sesekali bertujuan menekan mana-mana individu tertentu atas faktor politik atau seumpamanya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Walaupun tidak merujuk kepada sesiapa namun kenyataan yang dikeluarkan hari ini dipercayai merujuk kepada bekas menteri kanan Datuk Seri Hamzah Zainudin yang berasa pelik selepas namanya disebut dalam kertas siasatan SPRM membabitkan projek Kementerian Dalam Negeri (KDN) ketika pimpinannya.

Hamzah dipetik berkata, beliau tiada pembabitan di dalam syarikat terbabit dan menegaskan tindakan itu diambil SPRM untuk merosakkan nama baik parti.

 

– MalaysiaGazette