KUALA LUMPUR – Polis meminta seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual dalam tren Transit Aliran Massa (MRT) membuat laporan bagi membolehkan siasatan dilakukan.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pihaknya telah mengesan video berkenaan insiden tersebut yang tular di laman media sosial jam 9.55 pagi ini.
“Penelitian lanjut terhadap video berdurasi 31 saat yang dimuatnaik seorang pengguna Twitter mendakwa seorang individu melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita di dalam MRT arah Cheras menuju Pusat Bandaraya.
“Sehingga kini, pihak polis masih belum menerima laporan polis berhubung kejadian ini dan Polis Cheras meminta kerjasama individu yang terlibat untuk tampil membuat laporan polis agar siasatan dapat dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian iti diminta menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau menyalurkannya di balai polis berdekatan. – MalaysiaGazette