Setiausaha Sulit kepada Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Ahmad Ikhwan Fadhli bercakap kepada media selepas membuat laporan polis susulan tindakan SPRM dengan sengaja mengaitkan nama beliau dalam pertuduhan ke atas seorang penama, Sim Choo Thiam di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 12 MEI 2023.

KUALA LUMPUR- Setiausaha Agung Parti Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini membuat laporan polis berhubung tindakan sebuah agensi kerajaan mengaitkannya sebagai bekas Menteri Dalam Negeri (KDN) dengan individu yang terbabit dalam kes rasuah rasuah.

Ahmad Ikhwan Fadhli yang merupakan Setiausaha Sulit beliau membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Ahmad Ikhwan berkata, laporan itu dilakukan berikutan Hamzah dikaitkan kes rasuah membabitkan Sim Choo Thiam, Hep Kim Hong dan Syed Abu Zhafran, yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu lalu.

“Berdasarkan laporan media sebelum ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menghebahkan kes menarik Datuk Seri (Hamzah) didakwa meminta rasuah RM15 juta untuk Projek Kementerian Dalam Negeri dengan menyebut nama Hamzah seolah-olah terbabit dalam kes berkenaan.

“Laporan media massa juga menyebut nama Datuk Seri Hamzah dalam pertuduhan untuk mendapatkan apa-apa projek milik agensi-agensi di bawah KDN dan oleh sebab itu, masyarakat diberikan gambaran bahawa beliau terbabit dalam rasuah yang tidak benar sama sekali.

“Setelah kes tersebut selesai dituduh Rabu lalu, pegawai penyiasat SPRM telah memeriksa Datuk Seri Hamzah dari jam 4.30 petang hingga jam 7 malam,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Ikhwan, dalam siasatan itu nama Hamzah secara salah telah dimasukkan dalam pertuduhan yang mana ia memberi gambaran bahawa Ahli Parlimen Larut itu terkait dengan kesalahan dalam pertuduhan tersebut.

Katanya, Hamzah tidak tahu projek dalam pertuduhan tersebut, malah keempat-empat pertuduhan hanya menyatakan secara rambang ia adalah projek milik agensi-agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri.

“Sebagai seorang ahli politik dan menteri walaupun Datuk Seri Hamzah mengenali Sim Choo Thiam dan Syed Zhafran, namun beliau tidak pernah membabitkan mereka dalam apa jua urusan rasmi kerajaan dan tidak mempunyai sebarang pengerahuan berhubung fakta-fakta di dalam pertuduhan tersebut,” ujarnya.

Ahmad Ikhwan berkata, fakta dalam pertuduhan tersebut juga tidak mengaitkan sebarang salah laku dengan Hamzah.

“Sehubungan itu dua sebab utama mengapa laporan polis ini dibuat adalah untuk membersihkan nama Datuk Seri Hamzah selain mengesan agensi atau pihak yang cuba dengan sengaja memburuk-burukkan dan menjatuhkan imejnya sebagai Ketua Pembangkang dan Setiausaha Agung Parti Perikatan Nasional.

“Tindakan pihak tertentu yang menaikkan nama Hamzah Zainuddin ini seperti tak dapat tanduk, telinga ditarik,” katanya.

Pada Rabu lalu, dalam pertuduhan di Mahkamah Sesyen, Choo Thiam didakwa meminta suapan wang berjumlah RM15 juta daripada Pengarah Urusan Asia Coding Centre Sdn Bhd, Hep Kim Hong melalui Syed Abu Zafran Syed Ahmad pada Jun 2021.

Ia sebagai dorongan untuk seorang pegawai badan awam iaitu Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri untuk membantu syarikat itu mendapatkan apa-apa projek milik agensi di bawah KDN pada Jun 2021.

Bagi tiga lagi pertuduhan, beliau didakwa menerima rasuah masing-masing berjumlah RM3.5 juta, RM5.5 juta dan RM6 juta daripada Kim Hong sebagai dorongan untuk Hamzah membantu mendapatkan projek milik agensi di bawah KDN antara 19 hingga 30 Julai 2021.

Semua empat pertuduhan berkenaan dilakukan di Solaris Dutamas, Jalan Dutamas 1, di sini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast