Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Zaid Ibrahim membidas beberapa blogger pro kerajaan perpaduan yang menghentamnya kerana mencadangkang agar Akta Hasutan 1948 dihapus atau dimansuhkan.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menegaskan, bukan beliau mencadangkan perkara itu, sebaliknya mengingatkan kepada pemimpin dalam kerajaan hari ini bahawa dahulu mereka paling lantang mendesak kerajaan ketika itu, Barisan Nasional (BN), agar menghapuskan akta tersebut.

Katanya, beliau hanya sekadar menambahkan cadangan itu supaya rakyat akan lebih berani bersuara dan sekali gus menjadikan Malaysia sebagai negara yang benar-benar mengamalkan sistem demokrasi.

“Ada dua tiga blogger hentam saya sebab dalam video saya sebelum ini, saya minta kerajaan perpaduan hapuskan akta hasutan.

“Kalau hapuskan akta ini rakyat akan lebih berani bersuara dan ini sebenarnya boleh membina masyarakat yang lebih maju. Itulah keistimewaan demokrasi, suara rakyat dapat kita dengar.

“Lagipun, cadangan ini bukan dari saya pun, ia dari desakan pemimpin yang ada memerintah sekarang ini. Dulu masa jadi pembangkang, mereka desak kerajaan (BN) hapuskan atau mansuhkan akta ini,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Menurut Zaid, apabila beliau membangkitkan isu itu, blogger terbabit mendakwa, Akta Hasutan diperlukan oleh kerajaan sekarang.

Katanya, ada juga blogger bertanyakan kepadanya, banyak mana mahukan kebebasan lagi, sedangkan kerajaan sudah memberi kelonggaran sepenuhnya.

“Tidak kiralah banyak mana, tapi ia perlu untuk menjadikan negara ini benar-benar amalkan demokrasi. Beri kebebasan sebenar-benar bebas kepada rakyat. Lepas itu kamu tapislah mana yang boleh digunapakai, mana yang patut dibuang.

“Mereka juga dakwa kalau kebebasan diberikan akan banyak fitnah timbul dan akan merosakkan negara, maka akta hasutan perlu dikekalkan.

“Kamu faham tak fitnah itu apa? Fitnah ini orang cakap mengarut, cakap benda tak betul, bercakap tidak berasaskan pada fakta. Apa kamu takut sangat. Kita dalam politik, kena terimalah,” ujar beliau.

Katanya, apabila orang bercakap perkara karut tidak ada fakta, sebagai kerajaan kenalah jawab dan beri penerangan supaya rakyat faham dasar kerajaan.

“Dengan mendakwa orang yang bercakap fitnah tidak akan selesaikan masalah. Malah, rakyat lagi marah bila seseorang itu ditangkap, dibicara bawah akta hasutan dan dipenjarakan.

“(Cara ini) pada saya tak betul. Kalau orang fitnah, cakap karut, kita jawab sajalah dengan alasan dan hujah yang berhemah dan logik, itu cara kita membangunkan masyarakat, bukan tangkap orang yang kita tak setuju.

“Masa kamu pembangkang dulu kamu sendiri kata Akta Hasutan tak bagus, menekan rakyat, tapi bila kamu jadi kerajaan kamu kata kita perlu kepada akta ini supaya rakyat tidak boleh memfitnah sewenang wenangnya. Inilah alasan kerajaan dulu pun,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast