Datuk Iskandar Abdul Samad
Iskandar Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Langkah rangkaian kedai serbaneka, FamilyMart yang menghentikan penjualan minuman beralkohol sewajarnya diikuti kedai-kedai lain di negara ini.

Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH), Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, keputusan itu untuk memastikan pelanggan berbelanja dan menjamu selera tanpa was-was.

Beliau berkata, walaupun keputusan FamilyMart itu bersifat komersial namun ia berupaya mengubah persepsi orang ramai terhadap sebarang cadangan untuk melarang penjualan alkohol di kedai-kedai serbaneka.

“Ia telah membuktikan larangan penjualan alkohol bukan lagi satu isu agama.

“Sebelum ini apabila ada pihak yang menyarankan kedai-kedai serbaneka tidak menjual minuman alkohol, mereka akan dituduh sebagai ekstrem.

“Pelbagai label seperti fanatik atau Taliban akan dilemparkan kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selasa lalu, FamilyMart Malaysia telah menghentikan penjualan minuman alkohol di semua 360 kedainya bagi memberikan keyakinan tambahan kepada para pelanggannya.

Pengarah Urusan QL Maxincome Sdn Bhd, Chia Lik Khai berkata, usaha berkenaan dilaksanakan sejak Mac lepas dalam memastikan pelanggan berbelanja dan menjamu selera tanpa was-was di premis mereka.

Iskandar juga berkata, kemudaratan yang dibawa oleh alkohol sama ada kepada individu, keluarga dan masyarakat ditanggung oleh semua kaum.

“Alkohol bukan sekadar isu umat Islam tetapi ialah adalah satu isu universal,” katanya.

Katanya lagi, larangan penjualan minuman alkohol di kedai-kedai serbaneka tidak akan sama sekali menafikan hak-hak mereka yang meminumnya.

“Terdapat banyak lagi premis di mana mereka boleh membelinya. Dengan larangan ini, ia dapat menyekat kemungkinan pengaruh alkohol meresapi pelajar-pelajar sekolah.

“Ini kerana minuman tersebut dijual secara terbuka di kedai-kedai yang sering dikunjungi oleh pelajar-pelajar sekolah,” katanya.

Malah katanya kakitangan beragama Islam di kedai-kedai itu juga akan terselamat daripada sebarang amalan yang bertentangan dengan agama mereka.

“Diharap perkembangan ini akan membuka mata dan mengubah pendirian mereka yang berfikiran sempit dan bersikap prejudis,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

FamilyMart Malaysia henti jual minuman alkohol di 360 kedainya sejak Mac