rejim zionis
Hamzah Zainudin.-Foto FAREEZ FADZIL, 11 November 2022.

KUALA LUMPUR – Laporan polis susulah tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa sengaja mengaitkan nama Datuk Seri Hamzah Zainudin dengan pertuduhan rasuah merupakan tindakan pertama bekas Menteri Dalam Negeri itu.

Menurut Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu, beliau akan mengambil beberapa langkah lain.  Tindakan berkenaan dibuat atas prinsip ‘berani kerana benar’.

“Pagi tadi, saya telah mengarahkan pegawai saya membuat laporan polis. Bagi menyiasat komplot jahat bermotif politik yang cuba mengaitkan nama saya dalam kes pertuduhan yang tiada kena mengena dengan saya, semata-mata demi memburukkan nama saya, Bersatu dan Perikatan Nasional.

“Laporan polis ini adalah langkah pertama sebelum beberapa langkah susulan dibuat selepas ini,” kata Hamzah.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan tindakan yang bakal diambil dan terhadap pihak mana.

Setiausaha Sulit Hamzah, Ahmad Ikhwan Fadhli membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pagi tadi.

Ahmad Ikhwan berkata, nama Hamzah secara salah dan jahat dikaitkan dalam empat pertuduhan rasuah membabitkan projek Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang pernah diterajui Ahli Parlimen Larut itu.

Katanya, Hamzah yang Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) dan Ketua Pembangkang sebenarnya tidak mempunyai sebarang pengetahuan berhubung fakta dalam pertuduhan empat kes berkenaan.

Beliau sebenarnya tidak tahu apa projek yang menjadi hal dalam pertuduhan itu malah pertuduhan dalam keempat-empat kes hanya menyatakan secara rambang ‘apa-apa projek milik agensi di bawah KDN’,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan berkenaan.

Beliau merujuk kes di Mahkamah Sesyen pada Rabu lalu, membabitkan pertuduhan ke atas ahli perniagaan, Sim Choo Thiam yang didakwa meminta suapan RM15 juta daripada Pengarah Urusan Asia Coding Centre Sdn Bhd, Hep Kim Hong melalui Syed Abu Zafran Syed Ahmad pada Jun 2021.

Ahmad Ikhwan berkata, SPRM telah menghebahkan kes itu lebih awal, seolah-olah Hamzah terbabit dalam kes berkenaan, manakala laporan media berkaitan pertuduhan di mahkamah turut menyebut nama Ahli Parlimen Larut itu.

Katanya, fakta dalam pertuduhan yang dikemukakan di mahkamah berkait kes ahli perniagaan itu juga tidak mengaitkan Hamzah dengan sebarang salah laku.

“Sehubungan itu, dua sebab utama laporan polis ini dibuat, untuk bersihkan nama Datuk Seri Hamzah, selain mengesan agensi atau pihak yang cuba dengan sengaja memburuk-burukkan dan menjatuhkan imejnya sebagai Ketua Pembangkang dan Setiausaha Agung PN,” katanya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Hamzah minta polis kesan agensi sengaja burukkan nama beliau