Tangkap layar menunjukkan mangsa terbaring atas jalan dengan kesan tikaman manakala pihak polis sedang menjalankan siasatan di Taman Bukit Jambul di sini.

GEORGE TOWN – Hanya kerana ditinggalkan kekasih, seorang lelaki bertindak menikam dirinya sendiri dalam kejadian di tempat letak kenderaan di Blok D, Taman Bukit Jambul di sini, kelmarin.

Mangsa warga Bangladesh berusia 30-an itu ditemui orang awam dalam keadaan terbaring atas jalan selain perutnya berlumuran darah kira-kira jam 6 petang.

MalaysiaGazette difahamkan, mangsa yang merupakan pekerja sebuah kilang di Jalan P Ramlee di sini, menikam dirinya menggunakan pisau potong buah ketika berada dalam kereta jenis Proton Waja sebelum keluar dan baring atas jalan.

Difahamkan, hasil siasatan pihak polis mendapati mangsa menikam diri sendiri susulan ditinggalkan teman wanitanya yang merupakan warga Vietnam sejak dua hari lalu.

Mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Selain itu, pihak polis turut menemui pisau yang digunakan lelaki itu untuk menikam dirinya.

Terdahulu, tular rakaman video dan gambar menunjukkan seorang lelaki baring atas jalan dengan kesan darah di bahagian kanan perutnya.

Turut kelihatan pihak polis sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian. – MalaysiaGazette