Loke (tengah) bergambar bersama peserta selepas menjadi tetamu khas pada Persidangan Maritim 2023, di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengesahkan akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa ini.

Beliau berkata, pertemuannya dengan Tan Sri Azam Baki itu adalah bagi membincangkan dengan lebih lanjut kes-kes yang didakwa melibatkan anggota agensi di bawah kementeriannya.

Katanya, meskipun kebanyakan kes melibatkan kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan terdapat kes yang telahpun diselesaikan dengan tindakan tatatertib selain ada kes yang masih dalam siasatan.

“Saya akan dapatkan pandangan beliau (Azam) dan juga nasihat beliau, apakah yang perlu dilaksanakan oleh pihak kementerian.

“Kalau tindakan-tindakan yang boleh diambil melalui tindakan dalaman kementerian, kita sudah tentu akan mendapatkan nasihat dari pihak SPRM untuk membantu membudayakan integriti ini,” katanya kepada media selepas menjadi tetamu khas pada Persidangan Maritim 2023, di sini, hari ini.

Beliau ditanya mengenai status pertemuan beliau dengan Azam berhubung pendedahan Ketua Pesuruhjaya agensi penguatkuasaan undang-undang itu baru-baru ini mengenai salah laku kakitangan agensi di bawah Kementerian Pengangkutan yang tidak diendahkan.

Sebelum ini Loke memaklumkan, beliau tidak mempunyai maklumat mengenai perkara terbabit dan memandang serius apa yang didedahkan oleh Azam itu.

Mengulas lanjut, Loke berkata, apa yang penting bukan sahaja mengambil tindakan terhadap anggota yang terlibat dengan salah laku tersebut, sebaliknya mendapatkan pandangan berkenaan pencegahan yang boleh dibuat daripada mengambil tindakan.

“Saya merasakan bahawa pencegahan itu lebih penting. Jadi, kalau ada langkah-langkah yang boleh diambil untuk mencegah sesuatu salah laku ataupun penyalahgunaan kuasa itu berlaku, itu lebih baik termasuk praktis di pejabat menteri.

“Sebab itu saya kena dapatkan pandangan beliau sebab saya juga nak belajar, apakah cara yang juga boleh melindungi supaya kita tidak terdedah kepada apa-apa risiko isu-isu yang melibatkan integriti..

“Jadi saya nak dapatkan pandangan tersebut dan saya amat mengharapkan pertemuan ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette