Bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes rasuah membabitkan gagal mengisytiharkan aset RM1 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulangkan kereta Honda Civic Hybrid milik veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad.

Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu  dan peguamnya mengambil kenderaan tersebut di SPRM Selangor hari ini.

“Selepas solat Jumaat saya dengan Peguam Tuan Syahrul telah ke SPRM Selangor untuk mengambil kereta Honda Civic yang telah mereka sita.

“Okaylah tu. Walaupun empat bulan selepas kes AMLA/LHDN terhadap saya telah digugurkan.

“Saya gembira mendapat balik kereta yang dah jadi ‘famous’ dan terkenal semasa perbicaraan kes itu,” kata Shahrir.

Kenderaan yang dipulangkan SPRM

Pada 6 Mei lalu, pemimpin UMNO itu mendesak supaya SPRM untuk segera memulangkan kereta tersebut.

Honda Civic Hybrid berkenaan dirampas sebelum beliau didakwa di mahkamah berhubung pengubahan wang haram berjumlah RM1 juta.

Gesaan itu buat selepas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang sudah melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan RM1 juta diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Januari lalu.

Beliau berkata, empat bulan Mahkamah Tinggi menggugurkan kes SPRM terhadap beliau namun kereta tersebut masih belum dipulangkan.

Januari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan supaya Shahrir dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan gagal mengisytihar RM1 juta diterima daripada Najib melalui sekeping cek kepada LHDN.

Pihak pendakwaan turut memberitahu mahkamah mereka tidak berhasrat meneruskan pendakwaan kes tersebut terhadap Shahrir.- MalaysiaGazette