Gambar hiasan.

KOTA BHARU – Polis menahan 11 lelaki berusia lingkungan 21 hingga 57 tahun dan merampas 13 ekor ayam yang digunakan dalam kegiatan judi sabung ayam di kawasan Tok Bali, Pasir Puteh, semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM6,806, dipercayai wang taruhan dan kelengkapan judi sabung ayam dalam serbuan yang dijalankan pada 11.15 malam itu.

“Hasil pemeriksaan lanjut di lokasi serbuan juga menjumpai satu tong ais yang mengandungi 10 botol cecair keperangan disyaki air ketum.

“Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh untuk siasatan lanjut dan kes disiasat dibawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti perjudian dan penyalahgunaan dadah serta terus menyalurkan maklumat mengenai perkara yang menyalahi undang-undang kepada pihak polis dengan segera. – Bernama