KUALA LUMPUR – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan biar pun terdapat tohmahan terhadap gabungan pelbagai parti itu.
Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu melupakan kata-kata pihak yang memperlecehkan kerjasama yang dibuat demi rakyat.
Kerajaan Perpaduan juga, menurut beliau, seharusnya mendengar idea-idea membina dan bukan kata-kata yang membinasa.
Tegasnya, apa juga perbezaan sebelum ini, parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan memilih untuk bermuafakat demi membina kerajaan untuk kestabilan dan rakyat.
“Banyak yang diperkatakan tentang Kerajaan Perpaduan. Tidak kurang cuba perleceh status dan kedudukannya termasuk menyatakan kita ‘tidur sebantal mimpi lain-lain’.
“Bagi kami GRS, biar apa pun mereka bilang. Kita teruskan perjalanan, perjuangan kerana akhirnya kebersamaan kita adalah demi rakyat. Yang selayaknya menilai kita adalah rakyat.
“Sekurang-kurangnya kita tidur dan mimpi dengan tenang bukan mengigau mencari kacau,” kata Hajiji dalam ucapan sempena Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Hajiji menegaskan, parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan berhimpun dengan satu hasrat dan satu tekad iaitu untuk memaknai agenda pembangunan Malaysia Madani sekali gus mengangkat agenda rakyat.
“Kami di Sabah sentiasa membulatkan tekad dan iltizam untuk bergerak seiring dan bekerja dengan sepenuhnya agenda pembangunan. Atas sebab itu selain mengharapkan komitment dan keprihatinan tinggi kerajaan Persekutuan.
“Kita di peringkat negeri juga akan terus memastikan agenda Malaysia Madani akan tercapai dengan jayanya.
“GRS melihat tema konvesnyen ini iaitu Madani mengangkat agenda rakyat adalah amat bertepatan dan wajar diletakkan sebagai landasan setiap dasar dan program kerajaan di semua peringkat,” tegasnya.
Tambahnya, perjungan GRS adalah seiring dengan agenda Malaysia Madani dengan formular tempatan dan citra lokal menjadi landasan perjuangan didirikan atas satu hasrat dan matlamat.
GRS berhasrat untuk membentuk kesatuan seluruh rakyat bergerak seiring, sehati sejiwa membawa perubahan melonjakan pembangunan. – MalaysiaGazette