Vijay Anthony (kiri) di Malaysia ketika promosi filem Pichaikaran 2 yang turut dihadiri Dr Suthan daripada Lotus Five Star.

KUALA LUMPUR – Rata-rata peminat filem lakonan dan arahan Vijay Anthony pastinya sedang teruja dengan pengumuman tayangan filem Pichaikaran 2 seluruh dunia bermula 19 Mei ini.

Filem lakonan Vijay Anthony sentiasa hit  itu merupakan yang kedua selepas kejayaan Pichaikaran 1 yang ditayangkan sekitar 2016 yang turut meraih ratusan juta ketika itu.

Komposer yang kemudian menjadi pelakon dan pengarahnya bagaimanapun mendedahkan Pichaikaran 2 sebenarnya bukannya sambungan filem pertama.

Bercakap kepada media Malaysia ketika sesi promosi dengan Lotus Five Star yang merupakan pengedar filem itu di sini semalam, kata Vijay Anthony, filem kali ini berkisarkan tentang emosi antara adik beradik berbanding filem pertamanya, Pichaikaran 1.

“Langsung tidak sama kerana itu juga saya telah mengambil masa begitu panjang sehingga hampir enam tahun untuk hasilkan skrip terbaik. Apa yang diharapkan oleh para peminat ketika Pichaikaran 1 itu akan saya sedaya upaya penuhi dalam filem.

“Sepatutnya saya hanya berlakon manakala pengarah Sasi yang mengarahkan filem ini juga sama seperti Pichaikaran yang lepas namun saya diberitahu oleh beliau ketika ini dirinya sibuk dengan beberapa filem, tarikh diberikan kepada saya ialah dalam tiga tahun akan datang.

“Ketika itulah saya terfikir adalah lebih baik saya sendiri yang mengarahkan filem ini kerana saya tidak mahu peminat terus ternanti kerana sudah lebih enam tahun selepas tayangan Pichaikaran 1. Ini juga pengalaman pertama saya menjadi pengarah.

“Semoga Pichaikaran 2 ini pula akan mengetengahkan karektor seorang ahli perniagaan yang mempunyai pendapatan berbilion di seluruh dunia bernama Gurumoorthy. Kita akan berdepan dengan isu sindiket pengemis dan menceritakan realiti yang sedang berlaku terutamanya melibatkan kanak-kanak.

“Saya tidak mahu bercerita panjang sebaliknya mahu anda sendiri ke panggung untuk menontonnya ketika tayangan pada 19 Mei ini,” katanya pada promosi dua hari di Malaysia semalam.

Untuk pengetahuan, Pichaikaran dalam bahasa Tamil bermaksud pengemis.

Sebelum ini, awal tahun ini, Vijay Anthony ketika sedang melakukan penggambaran filem Pichaikaran 2 pernah mengalami kemalangan bot di Langkawi dan berada dalam keadaan serius selama hampir sebulan.

Namun Vijay Anthony yang sentiasa tampil bersemangat dan positif memberitahu beliau teruja dan menganggap semua itu adalah pengajaran dan pengalaman cukup berharga buat dirinya.

“Saya anggap itu pengalaman, tidak lebih dari itu. Malaysia adalah sebuah negara hebat dan penuh dengan para peminat yang cukup besar buat saya. Itu lebih penting,” ujarnya.

Selain mengarah, Vijay Anthony turut menghasilkan dan menggubah muzik untuk Pichaikkaran 2 yang juga dibintangi oleh John Vijay, Harish Berradi, YG Mahendran, Ajay Ghosh, Yogi Babu dan lain-lain. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast