Mohd Ali (tengah) menyempurnakan peletakan plak perasmian Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2023 Peringkat Kebangsaan bertemakan "Bomba Tonggak Penyelamatan Negara" di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Bandar Hilir, Melaka, hari ini.

MELAKA – Kerajaan akan melakukan penyusunan semula organisasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi menampung kekurangan anggota bomba dengan keperluan penduduk di seluruh negara.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, usaha komprehensif itu akan dilakukan secara berfasa melibatkan naik taraf perjawatan dan pengisian perjawatan sedia ada yang masih kosong.

KPKT juga, katanya, akan mempertimbangkan untuk menambah jumlah keanggotaan JBPM yang kini berjumlah lebih 15,000 orang anggota berbanding 33.57 juta populasi Malaysia.

“Ini menjadikan nisbah keanggotaan adalah 1 bagi 2,238 orang rakyat Malaysia dan dtambah pula dengan jumlah panggilan kecemasan yang perlu ditindak balas melebihi 100,000 setiap tahun, saya melihat jumlah keanggotaan ini sama sekali tidak seimbang.

“Ini termasuklah elemen kebajikan seperti kajian semula skim bomba termasuk gaji dan elaun yang berkaitan dan aya yakin JBPM dan Bahagian Sumber Manusia KPKT sedang meneliti kertas cadangan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2023 Peringkat Kebangsaan bertemakan “Bomba Tonggak Penyelamatan Negara” di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Bandar Hilir hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan Pengarah JBPM Melaka, Abu Bakar Katain.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, cadangan itu juga akan diangkat kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk pertimbangan dan kelulusan.

Nga Kor Ming

“Sebagai sebuah organisasi penyelamatan dan kecemasan utama negara, Jabatan ini sentiasa bersedia dalam menangani sebarang situasi kecemasan baik kebakaran, kemalangan, khidmat khas mahupun sebarang bentuk bencana.

“Dalam kita mendepani isu dan cabaran masa kini, kejayaan sesebuah organisasi tidak akan dapat dicapai dengan mudah sekiranya nilai bersama atau shared values tidak dihayati oleh warganya,” katanya. – MalaysiaGazette