KUALA LUMPUR – Keyakinan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang Kerajaan Perpaduan akan kekal utuh sehingga selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) disambut sinis oleh Khairy Jamaluddin.
Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu berkata, kenyataan Ahmad Zahid seolah-olah memaparkan UMNO berpuashati untuk hanya menjadi pelengkap kepada kerajaan.
“Apakah cita-cita UMNO hari ini seperti yang dizahirkan oleh Zahid untuk menjadi pelengkap? Untuk terus menjadi pendokong Kerajaan Perpaduan adalah untuk menjadi parti yang maksimum menjadi (mempunyai) 40 hingga 50 kerusi?
“Dan tidak lagi bercita-cita untuk menjadi tunjang kepada kerajaan? Sebagai pemimpin kerajaan? Adakah ini UMNO sekarang?” soal beliau dalam program Keluar Sekejap yang disiarkan di media sosial hari ini.
Dalam ucapan di Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan semalam, Ahmad Zahid yakin Kerajaan Perpaduan akan kekal utuh sehingga PRU16.
Ahmad Zahid berkata, perkara itu mampu dicapai sekiranya gabungan politik sedia ada mampu mengangkat idealisme dan sokongan penuh terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Khairy, ahli UMNO kena tanya diri sendiri sama ada mereka selesa dengan cita-cita Ahmad Zahid iaitu cuma untuk jadi pelengkap kepada parti lain untuk menerajui kerajaan.
“Kalau anda rasa itu cita-cita terbaik untuk UMNO menjadi pelengkap, downline PH (Pakatan Harapan). Itu terpulang,” katanya.
Rancangan Keluar Sekejap dihoskan secara bersama dengan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.
Mengulas perkara yang sama, Shahril beranggapan adakah hubungan antara UMNO dan PH adalah ‘suka sama suka’ bukan ‘kahwin paksa.’
“Zahid kata, kita akan sokong Datuk Seri Anwar dan yakin sampai selepas PRU16. Maknanya ini satu lagi ekspresi dari pihak UMNO dan Presiden UMNO bahawa ini bukan ‘perkahwinan paksa’ tetapi ini sebaliknya ‘suka sama suka’.
“UMNO suka kepada PH dan mahu angkat Anwar sebagai pemimpin negara melangkaui PRU16.
“Ini bukan pasal titah Agong, mudarat kecil, mudarat besar. Ini adalah UMNO nak jadi pelengkap kepada PH. Saya tak tahu orang UMNO sedar atau tidak,” kata Shahril.
Ahmad Zahid dalam ucapannya meminta UMNO dan Barisan Nasional supaya jangan menoleh ke belakang kerana rakyat mahu Anwar bersama 19 parti yang ada terus memacu Malaysia sebagai negara paling kehadapan. – MalaysiaGazette
Udah bukan ahli.. tak perlu ulas hal parti org lain.. udah tak dak nilai.
Kj ibarat skrew tanggal. Banyak skrew boleh ganti. KJ tak payah susah hati hal UMNO