Dr Zulkarnain Endut bersama Pegawai Khas Ketua Aktivis PPIM, Harik Fauzi bergambar dengan jemaah umrah sebelum daftar masuk bagi menaiki pesawat untuk berangkat ke tanah suci menerusi Trip Pemulihan Operasi Umrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto AFFAN FAUZI, 15 MEI 2023.

SEPANG – Seramai 37 bakal jemaah umrah yang terkandas sebelum ini, akhirnya dibawa menunaikan ibadah suci itu hari ini menerusi ‘Trip Pemulihan Operasi Umrah’ kendalian Emraz Travel & Tours Sdn Bhd (Emraz).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zulkarnain Endut berkata, trip pertama itu sebagai langkah memulihkan semula perkhidmatan agensinya dan mengembalikan kepercayaan pelanggan selepas berdepan dengan isu beberapa bulan lalu.

“Hari ini merupakan trip khas untuk pemulihan operasi umrah agensi ini selepas banyak inisiden berlaku sejak Febuari sehingga Mei ini. Kita cuba beroperasi balik dengan struktur baharu dan kos lebih rendah supaya Emraz terus berada di fasa pemulihan dengan cepat.

“Kita pilih beberapa jemaah termasuk mutawif mengikut kriteria tertentu kemudian trip pemulihan ini yang akan dinilai dari segi proses keseluruhan operasi umrah melibatkan pembelian tiket, visa dan sebagainya sehingga mereka tiba ke tanah suci.,” katanya pada pemberita.

Zulkarnain Endut

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghantar 37 bakal jemaah umrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Ditanya mengenai tempoh masa pemulihan Emraz untuk kembali stabil, Zulkarnain menjangkakan agensinya memerlukan masa selama tiga bulan iaitu sehingga Ogos ini.

Katanya lagi, kesemua cawangan Emraz di seluruh negara yang sudah ditutup pada bulan lalu akan kembali beroperasi semula pada bulan Jun.

Manakala ibu pejabatnya beroperasi seperti biasa.

“Selama dua tahun ini, kita ada ramai bakal jemaah yang tarik diri dan kita akan gunakan pengalaman itu untuk susun semula supaya tidak berlaku dalam satu bulan sampai 3,000 hingga 4,000 jemaah umrah.

“Keadaan itu menjadi tidak terkawal. Jadi selepas ini kita mahu setiap bulan ia konsisten dengan jumlah yang sesuai dengan pasukan operasi kita sekarang.

“Saya yakin kalau kita dapat sokongan orang ramai, Emraz boleh beroperasi seperti biasa, termasuk jualan seperti biasa dan terbangkan semula jemaah yang sudah tertangguh.

“Dalam fasa pemulihan tiga bulan ini, pertamanya kita akan kurangkan kos operasi sebanyak 70 peratus, kedua menghubungi bekas jemaah umrah kita dan jemaah musim baharu untuk susun semula perjalanan mereka,” ujarnya.

Jemaah umrah memeluk ahli keluarga sebelum daftar masuk bagi menaiki pesawat untuk berangkat ke tanah suci menerusi Trip Pemulihan Operasi Umrah dibawah kendalian Emraz Travel & Tours Sdn Bhd (Emraz) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto AFFAN FAUZI, 15 MEI 2023.

Tambah beliau, pihaknya bersama PPIM masih lagi merancang sama ada mahu menambah atau tidak trip pemulihan operasi umrah sebelum 20 Mei ini susulan penutupan sempadan bagi ibadah haji.

Bagaimanapun, Zulkarnain memberi keyakinan pihaknya akan menerbangkan semula lebih 2,000 bakal jemaah umrah yang terkandas termasuk jemaah baharu selepas musim haji nanti.

“Kita sebenarnya sudah mendapat imput daripada syarikat penerbangan, yang mana penerbangan terakhir untuk menunaikan umrah adalah pada 20 Mei dan 21 Mei nanti sebelum sempadan akan tutup.

“Mereka (syarikat penerbangan) sebenarnya telah mengira, bahawa 20 Mei itu untuk Pakej Standard 12 hari 10 malam. Jadi Emraz tidak akan melangkaui tarikh itu. Kalau ada agensi yang terlepas tarikh itu, maksudnya dia berisiko sebenarnya,” jelasnya. – MalaysiaGazette