Ketua Pegawai EksekutifUGO Travel & Tours Sdn Bhd, Faris Mohd Nazri bersama jemaah umrah.

KUALA LUMPUR – Umat islam yang menunaikan ibadah haji tanpa permit dari Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dianggap melanggar undang-undang dan boleh diusir dari negara itu.

Ketua Pegawai Eksekutif UGO Travel & Tours Sdn Bhd, Faris Mohd Nazri berkata, pihaknya menyambut baik saranan kerajaan agar bakal jemaah umrah tidak menyalahgunakan kemudahan visa pelancong dan visa umrah bagi tujuan itu.

Beliau tidak menolak kemungkinan terdapat segelintir pihakĀ  akan berbuat demikian bagi meraih keuntungan jangka pendek biar pun tindakan itu memudaratkan.

“Sejak tahun 2019, Kementerian Pelancongan Arab Saudi telah memperkenalkan visa pelancong kepada pengunjung dari 49 buah negara untuk tinggal di negara itu selama setahun dan berkunjung beberapa kali selama maksimum 90 hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Faris, visa itu hanya boleh digunakan untuk tujuan pelancongan seluruh Arab Saudi dan menunaikan ibadah umrah sahaja.

Manakala bagi tujuan menunaikan haji, kelulusan hanya dikeluarkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

“Kita tidak menafikan terdapat sesetengah pihak sama ada secara individu atau berkumpulan sengaja mahu mengaut keuntungan dengan mengeksploitasi visa pelancong untuk menawarkan peluang menunaikan ibadah haji, selain daripada aktiviti umrah dan pelancongan,” ujarnya.

Pada 13 Mei lalu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menasihatkan umat Islam terutama bakal jemaah umrah di negara ini supaya tidak menyalahgunakan kemudahan visa pelancong dan visa umrah bagi tujuan menunaikan ibadah haji.

Jelas MOTAC, pihaknya turut mengingatkan syarikat pengendali umrah dan jemaah supaya menyelesaikan ibadah umrah sebelum sesi musim haji yang dijangka akan bermula minggu ketiga bulan Jun 2023.

Faris berkata, saranan yang dikeluarkan MOTAC itu wajar dipatuhi semua pihak dan perlu mengikuti prosedur yang betul serta menghormati undang -undang bagi menunaikan haji dan umrah di Tanah Suci.

“Mana-mana pihak yang melanggar peraturan yang ditetapkan dan sekiranya didapati bersalah boleh didenda sehingga SAR 50,000 dan boleh dipenjarakan selama enam bulan. Selain itu, warga bukan Arab Saudi juga boleh diharamkan daripada memasuki negara ini sehingga 10 tahun,” jelasnya. – MalaysiaGazette