Gambar hiasan

SERDANG – Perselisihan faham tentang hutang dipercayai menjadi punca seorang warga emas  mati ditikam di leher dalam satu insiden di hadapan Selayang Centre Point, Jalan Selayang Baru, Batu Caves baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan polis mendapati suspek seorang lelaki warga Indonesia yang tinggal di kejiranan sama dan sering meminjam wang daripada mangsa.

Katanya, sebelum kejadian berlaku suspek yang merupakan seorang pemastautin tetap dan menjalankan perniagaan kedai emas secara kecil-kecilan telah meminjam wang sebanyak RM3,000 daripada mangsa.

“Pada hari kejadian suspek berjumpa dengan mangsa sebelum suspek dipercayai menikam leher mangsa menggunakan garfu,” katanya ketika ditemui pemberita dalam Majlis Pelancaran Dewan Serbaguna di Balai Polis Seri Kembangan, di sini  pagi tadi.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Selangor Deputi Komisioner Datuk S.Sasikala Devi; Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan dan wakil MRT Corp yang menaja pembinaan dewan serbaguna berkenaan.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed telah mengesahkan seorang lelaki warga asing yang miliki taraf pemastautin tetap diberkas polis selepas mayat seorang warga emas dalam keadaan berlumuran darah dengan luka di leher ditemui di dalam kereta di hadapan Selayang Centre Point, Jalan Selayang Baru, Batu Caves di Gombak pada 9 Mei lalu.

Mangsa berusia 70-an memakai baju kemeja dan berseluar slack ditemui berlumuran darah di tempat duduk pemandu sebuah kereta Kancil kira-kira jam 10.10 pagi.

Suspek lelaki lingkungan 40-an berjaya diberkas pada 4 petang hari kejadian dan direman tujuh hari hingga 16 Mei untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mengulas lanjut dalam perkembangan kes itu, Hussein menambah, siasatan kes bunuh itu hampir selesai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast