KUALA LUMPUR – Inkarnasi semangat dan daya ikhtiar bekas Perdana Menteri Allahyarham Tun Abdul Razak terjelma dalam diri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Naib Presiden Amanah Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan mengimbau kembali usaha-usaha lebih awal perpaduan Tun Razak dan Tun Dr. Ismail pasca konflik perkauman 13 Mei 1969.
“Idea kestabilan politik diikhtiarkan melalui politik kesepaduan dengan menghimpunkan semua parti-parti politik ke arah memulihkan negara melalui Dasar Ekonomi Baru.
“Pada 14 Mei 2023 kitaran ikhtiar pemulihan negara dan perpaduan nasional dibangkitkan semula dalam Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan setelah ‘koma’ sekian lama.
“Jikalau dahulu tokoh ikhtiar besar ini adalah Tun Abd Razak maka inkarnasi semangat dan daya ikhtiar itu terjelma dalam diri PMX YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata Mujahid.
Jelas beliau, kejayaan Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang berlangsung semalam adalah senario masa depan Malaysia.
Ia telah mencetuskan satu harapan baharu yang mampu membawa Malaysia ke tahap pemulihan yang lebih dinamik dan kompetitif.
Menurut Mujahid, jika dahulu desakan kestabilan berlatarkan pasca konflik kebencian kaum maka hari ini ia berlandaskan latar keperluan kestabilan pasca pemulihan negara dari kelumpuhan akibat implikasi Covid-19.
“Walaupun kejutan mana-mana krisis telah mengundang awan mendung menyelubungi negara namun tugas kepimpinan adalah untuk menghembuskan angin harapan dan melakarkan awan cerah dari kesegaran matahari menyinar.
“Menyaksikan kesepaduan 19 parti-parti politik kelmarin di PWTC adalah awan cerah yang akan mengiringi negara ini dalam perjalanannya yang panjang ke hadapan,” katanya.
Tambah beliau, semua 19 parti telah membuktikan satu prinsip abadi yang menjamin kebangkitan negara bangsa iaitu ‘Negara Dahulu’.
Mujahid berkata, rakyat sangat beruntung kerana parti politik terbabit akur kepada kehendak rakyat agar mereka membuang ego dan memberi tumpuan menangani derita rakyat.
Kestabilan yang telah dibentuk dalam konvensyen berkenaan adalah satu komitmen untuk mencetusan kesegaran baharu politik tanah air.
Justeru katanya, cabaran kepada Kerajaan Perpaduan ialah untuk memenuhi harapannya kepada rakyat iaitu pentadbiran yang berintegriti, meringankan derita, menangani kebencian kaum dan agama yang senantiasa menjadi virus kepada kesepaduan yang dicitakan.-MalaysiaGazette
camner DNA Tun Razak mengalir ditubuh ANWAR?
Sebab NAJIB kedalam kot…