Kumpulan UMW dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP) menanam kira-kira 2,000 pokok bakau di Sungai Cherating, di Kuantan semalam.

KUANTAN – Kumpulan UMW berjaya menanam sebanyak 195,200 pokok bakau di seluruh negara menerusi Inisiatif Pucuk Hijau (UGS) sehingga akhir Mac lalu.

Ketua Pegawai Mobiliti dan Inovasi UMW Holdings Berhad, Datuk Abdul Rashid Musa berkata, pihaknya komited  untuk mencapai sasaran 300,000 pokok bakau menjelang 2023.

“Kami memilih untuk melabur dalam inisiatif ini kerana hutan bakau terkenal dengan kecekapan penyerapan karbon yang tinggi dan sangat penting kepada ekosistem negara.

”Inisiatif ini juga selaras dengan Kempen 100 juta Penanaman Pokok Kebangsaan Kerajaan Malaysia 2021 – 2025, yang dilancarkan pada Januari 2021,” katanya.

Menurut Abdul Rashid, pokok bakau sangat penting untuk ekosistem kerana dapat melindungi pantai daripada hakisan, ribut, ancaman perubahan iklim dan membantu pembiakan hidupan marin.

Pokok bakau juga mampu menyerap karbon atmosfera lebih daripada lima kali ganda sehektar berbanding hutan tropika.

Kumpulan UMW dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP) meneruskan inisiatif itu dengan menanam kira-kira 2,000 pokok bakau di Sungai Cherating di sini semalam.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman dan Naib Canselor UMP.  Prof Datuk Dr Yusserie Zainuddin.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, program terbabit adalah antara inisiatif UGS hasil kolaborasi UMP dan UMW ke arah mencapai neutral karbon.

”Inisiatif ini juga mengukuhkan komitmen Kumpulan ke arah melestarikan alam sekitar dan menyokong misi kerajaan Malaysia untuk mencapai 100 peratus neutral karbon menjelang 2050 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya.

Menurutnya, komitmen itu yang juga merupakan ikrar Kumpulan UMW di bawah Pelan Hala Tuju Kelestarian UMW.

Program berkenaan melibatkan lebih 200 sukarelawan UMP yang terdiri daripada pelajar menyertai program penanaman bakau di Cherating.

Ia membabitkan penglibatan pengurusan UMW, barisan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UMP serta 30 kakitangan UMW Kuantan. – MalaysiaGazette