Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah mengurniakan duit raya kepada pelajar tahfiz di Pekan hari ini

PEKAN – Majlis Ugama Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) meraikan sambutan bulan Syawal bersama lebih 100 anak-anak tahfiz di Dewan Kompleks Islam Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, anak-anak tahfiz terus dirai  dalam usaha memartabatkan sistem pendidikan agama di negeri itu.

Dr Asmadi Abdul Rahman

”Syawal kali ini meraikan anak-anak tahfiz dengan memberi bantuan sumbangan duit raya,  kita di Pahang terus menyokong perjuangan pengajian madrasah ini di mana ada 101 pusat tahfiz yang berdaftar dan 80 lagi dalam proses pendaftaran.

”Semua pelajar tahfiz dibantu, tidak tercicir malahan mereka yang mengikuti pengajian maahad dan pondok di negeri ini diberi elaun RM2,400 setahun selama tiga tahun pengajian,” katanya.

Asmadi berkata demikian ketika ditemui MalaysiaGazette semasa Majlis Mesra Adilftiri MUIP yang dihadiri lebih 500 tetamu jemputan.

Muhhamad Norazmi (kanan) dan Mohd Afiq Rayyan (kiri)

Sementara itu, Muhammad Norazmi, 13,  berkongsi pengalaman pertama kali meraikan Syawal bersama warga pondok dan MUIP kerana baru memulakan  pengajian awal tahun lalu.

”Terima kasih MUIP beri sumbangan duit raya selain bantuan makanan kepada kami. Nak simpan duit raya dan bantuan lain  yang diberikan untuk kegunaan belajar,” katanya.

Bagi Mohd Afiq Rayyan, 13, pula, dia merupakan bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Padang Garuda yang baru sahaja sehari menjejakkan kaki ke dunia pengajian madrasah juga teruja dapat menyertai majlis sambutan Syawal bersama rakan-rakan.

”Jamuan raya meriah, saya baru sahaja masuk pondok semalam, hari ini dapat sertai majlis rasa bersyukur dapat duit raya,” katanya.

Majlis disempurnakan oleh  Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Tetamu jemputan meriahkan sambutan Majlis Mesra Aidilfitri MUIP

Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Datuk Ahmad Hairi Hussain.

Pada majlis itu, Tengku Amir selaku Timbalan Yang Dipertua MUIP mengurniakan sumbangan duit raya kepada jemputan 108 pelajar dari lima buah pusat tahfiz di daerah Pekan.

Antara pelajar tahfiz yang hadir ialah dari Maaahd Tahfiz Tengku Ampuan Afzan, Maahad Tahfiz Tok Montok Madrasah Hujjatul Islam, Pusat Pengajian Ribath Sullamuttaufiq dan Maahd Tahfiz Ummul Qura. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast