Ahli-ahli NGO Islam menunjukkan poster bantahan pada Program Perkumpulan Tergempar mengenai Isu Kalimah Allah 2.0 anjuran Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Bharu, Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 14 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) mengecam tindakan kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik rayuan terhadap keputusan mahkamah yang membenarkan seorang wanita Kristian Sarawak, Jill Ireland menggunakan kalimah Allah.

Setiausaha Agungnya, Mohd Aswanizam Alias berkata, pertubuhan itu mengecam tindakan kerajaan yang tidak melakukan sebarang rundingan dengan mana-mana pihak berkaitan Islam.

“PEMBELA yang mewakili lebih 70 Gabungan NGO dan NGO-NGO Islam, ingin menyuarakan bantahan keras terhadap tindakan Kerajaan Madani di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik rayuan terhadap kes kalimah Allah di mahkamah.

“Tindakan Unilateral Kerajaan Madani di bawah PMX tanpa merujuk dan berunding dengan pemegang-pemegang taruh utama berkenaan isu melibatkan Islam iaitu Majlis Raja-Raja, Majlis-Majlis Agama Islam Negeri dan pihak-pihak berkepentingan Islam di dalam negara.

“Dalam tindakan ini, ialah satu tindakan yang boleh dianggap melampau, tidak menghormati Institusi-Institusi yang lebih tinggi dari cabang eksekutif negara dan boleh mencetuskan keadaan yang tidak baik dalam negara,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Kerajaan Perpaduan bertindak menarik balik rayuan terhadap keputusan mahkamah yang membenarkan seorang wanita Ireland menggunakan kalimah Allah.

Notis tidak meneruskan kes itu difailkan di Mahkamah Rayuan pada 18 April lalu.

Dalam pada itu, Pembela berkata, tindakan kerajaan itu dilihat biadap kerana tidak memperdulikan hak dan kesucian Islam sebagai mana yang termaktub di dalam Perlembagaan serta tidak menjaga kepentingan kepentingan majoriti umat islam di negara ini.

“PEMBELA juga ingin merakamkan kekesalan dengan peranan yang gagal dimainkan oleh Ahli-Ahli Parlimen Islam yang mendukung kewujudan Kerajaan Madani ini untuk membantah serta menghalang tindakan Unilateral ini.

“PEMBELA menggesa Ahli-Ahli Parlimen Islam yang bermaruah di dalam Kerajaan dan Pembangkang untuk memberi tekanan yang wajar supaya tindakan Unilateral yang tidak menghormati Agama Islam, Perlembagaan dan Institusi yang telah bersumpah dan dipertanggungjawabkan untuk memeliharanya pada semua masa, ditarik balik,” katanya.

Pada 10 Mac tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan semakan kehakiman Ireland yang mahu mendapatkan pengisytiharan bahawa dia mempunyai hak menggunakan kalimah Allah untuk tujuan agama dan pendidikan.

Mahkamah Tinggi juga memutuskan bahawa arahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 1986 yang melarang orang bukan Islam menggunakan kalimah “Allah”, “Baitullah”, “Kaabah” dan “solat” sebagai menyalahi undang-undang dan bertentangan dengan perlembagaan.

KDN dan kerajaan kemudiannya memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan pada 15 Mac tahun yang sama. – MalaysiaGazette