Datuk Dr. Dzulkifli Mohamad Al-Bakri

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor dan Sultan Johor telah menitahkan supaya merayu keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Jill Ireland Lawrence Bill menggunakan kalimah Allah dan beberapa kalimah lain bagi penggunaan orang bukan Islam dalam agama mereka.

Perkara tersebut diingatkan bekas Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Ia selepas Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan memfailkan notis menarik balik rayuan pada 18 April lalu.

“Paling utama, keputusan untuk rayuan semula kes pada tahun 2021 adalah bagi menjunjung titah Sultan Johor dan Sultan Selangor yang menitahkan kerajaan pada ketika itu membuat rayuan semula bagi keputusan mahkamah tinggi tersebut.

“Tidak sedikit jerih payah yang dikerah oleh para Ashabus Samahah Mufti serta Jawatankuasa Muzakarah MKI untuk berbincang, pertemuan demi pertemuan dengan NGO dan penyusunan kertas penghujahan yang melibatkan ramai pakar dan tokoh akademik,” katanya.

Tambah beliau, rayuan tersebut diangkat semasa beliau menjawat jawatan menteri dan dibuat atas dasar kesedaran akan keperluan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah, dan Solat kekal menjadi milik umat Islam di Malaysia.

Katanya, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) pada tahun 2008 telah memutuskan lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam.

Kalimah tersebut tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam.

Justeru beliau berharap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengadakan sidang media dalam masa terdekat berhubung isu yang kepentingan umat Islam itu.

Saifuddin hari ini memaklumkan KDN telah mengemukakan nota kepada Kabinet berhubung membuat keputusan untuk menarik balik rayuannya berkaitan keputusan mahkamah tinggi yang membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain untuk tujuan pembelajaran.

Saifuddin berkata, ia adalah pendirian yang diambil oleh kementerian dan beliau telah memaklumkan kepada Kabinet.

Terdahulu hari ini, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan mengesahkannya, kementerian dan kerajaan memfailkan notis penamatan itu pada 18 April lalu.

Notis berkenaan menyatakan KDN dan kerajaan Malaysia tidak berniat untuk meneruskan rayuan yang difailkan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan tanpa sebarang perintah terhadap kos.

Isu itu bermula 15 tahun lalu apabila Jill Ireland memulakan permohonan kebenaran semakan kehakiman pada 20 Ogos 2008 supaya dikembalikan lapan cakera padat (CD) yang dirampas daripadanya pada 11 Mei 2008 sebaik tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang.

CD berkenaan bertajuk ‘Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah’, ‘Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah’ dan ‘Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah’.

Wanita itu memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar penyitaan CD tersebut serta memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Kristian. -MalaysiaGazette