MACSA
Lukman Sheriff Alias

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menjelaskan isu penarikan balik rayuan kalimah Allah dan perlu ada akauntabiliti mengenainya.

Ia tidak sepatutnya berlaku dan kes itu perlu diteruskan, kata peguam, Lukman Sheriff.

“Tiba-tiba hari ini kita dikejutkan dengan pengumuman penarikan balik kes Jill Ireland. Kes ini berkenaan penggunaan Kalimah Allah yang amat sensitif.

“Sebelum ini kes kalimah Allah telah ditentukan oleh mahkamah persekutuan dalam kes Titular. Kalimah Allah dalam mahkamah persekutuan telah diberi maksud tuhan yang disembah oleh orang Islam. Penyalahgunaannya boleh menggugat ketenteraman awam.

“Saya tidak faham kenapa kes mahkamah tinggi Jill Ireland ini tidak mengikuti kes mahkamah persekutuan yang tertinggi malah bertentangan. Mahkamah tinggi ini boleh pula memutuskan bahawa penggunaan kalimah Allah tidak menggangu ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan di media sosialnya.

Yang menarik, katanya, afidavit itu dikemukakan tiga individu termasuk Syahredzan Johan dan Abdul Aziz Bari dirujuk menunjukkan sebahagian muslim tiada masalah.

“Jadi bilamana mahkamah memihak kepada Jill Ireland ketika itu, kita dikhabarkan bahawa terdapat kekhilafan hakim dan kerajaan akan membuat rayuan ke peringkat seterusnya. Sebab itu kes ini ditunggu-tunggu penyelesaiannya.

“Entah apa terjadi kita dikejutkan hari ini bahawa rayuan tidak akan dibuat. Tak tahu apa alasannya tetapi saya difahamkan akibat tekanan politik,” dakwanya.

Sejak 2018 kita lihat pelbagai kes ditarik balik tanpa dimaklum alasannya. Keadaan ini sungguh tidak memuaskan. Ini menimbulkan persepsi campurtangan politik dalam beberapa kes, katanya.

“Apabila kes ini tidak dirayu bermakna Jill Ireland dan orang lain boleh menggunakan kalimah Allah untuk tidak merujuk kepada tuhan orang Islam.

“Arahan menteri berkenaan perkara ini pula menyalahi. Bahaya keputusan ini. Ia seperti perubahan dasar budaya negara dan hukuman mandatori mati yang akan mengubah nilai budaya kita. Cuma ini lebih sensitif dan terkesan bagi umat Islam. Ramai umat Islam tidak mahu mengikuti amalan negara jiran kerana kita mempunyai nilai budaya dan amalan agama yang berlainan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kalimah Allah: Beri penjelasan atau kami ‘turun ke jalan’ – Akmal