Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown (kiri) kelihatan hadir bagi sebutan tarikh kes Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 10 OGOS 2018.
Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown (kiri) kelihatan hadir bagi sebutan tarikh kes Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 10 OGOS 2018.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, hari diberitahu pengarang portal Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown akan mendapat perbicaraan adil di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.

Clare berdepan saman fitnah selepas didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah melalui buku ‘The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose’.

Beliau yang berasal dari United Kingdom didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu secara tanpa kehadiran pada 23 September 2021 atas pertuduhan itu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, ketika prosiding pagi ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Haslinda Che Seman berkata, pengarang itu akan mendapat pengadilan di Mahkamah Terengganu tanpa campur tangan istana.

“Pembelaan tidak menunjukkan bagaimana Mahkamah Rendah di Kuala Terengganu akan berlaku tidak adil jika kes tersebut didengar di sana. Sepanjang proses pendakwaan, tidak ada sebarang campur tangan Istana Terengganu.

“Pegawai yang dilantik mahkamah akan jalankan tugas dan amanah mereka dengan adil tidak kira ianya berkaitan istana atau sebaliknya,” katanya.

Hakim menetapkan 21 Jun bagi keputusan membenarkan pemindahan atau sebaliknya. – MalaysiaGazette