Kok Chin ketika ditemui pemberita di IPK Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang sedang menjalankan siasatan berhubung laporan penggunaan pembesar suara bagi laungan azan di sebuah surau berhampiran kondominium di Tanjong Tokong di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, setakat ini pihaknya telah merakamkan keterangan beberapa pihak berhubung isu tersebut.

“Kita termasuk cawangan khas ambil maklum berhubung perkara itu dan sudah bertemu dengan kedua-dua belah pihak.

“Isu ini sensitif dan kita ambil pendekatan secara diplomatik untuk selesaikannya.

“Kita nak harmonikan keadaan dan saya difahamkan Kerajaan Negeri sudah adakan mesyuarat bagi membincangkan isu sama,”katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

Boleh azan dan iqamah guna pembesar suara – Mufti P.Pinang

Semalam tular satu rakaman video mengaitkan isu penggunaan pembesar suara bagi laungan azan yang dibawa pada mesyuarat Badan Pengurusan Bersama (JMB) di sebuah kondominium di Tanjong Tokong di sini.

Susulan itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menegaskan, larangan penggunaan pembesar suara di luar masjid dan surau di seluruh negeri Pulau Pinang dibenarkan bagi azan dan iqamah.

Jelas beliau, keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa negeri pada Julai 2015 dan disahkan pada 23 serta 24 Ogos tahun sama.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pengurusan Surau Saidina Umar, Akmal Jabir berkata, pihaknya menuntut permohonan maaf daripada JMB susulan sekali lagi membangkitkan isu laungan azan.

Jelasnya, isu sama pernah dibangkitkan pada 2021 dan kini sekali lagi diusulkan JMB pada Mac lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast