Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sedang menjalankan kajian semula secara holistik terhadap Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA), satu perundangan utama yang berfungsi mengawal selia pasaran modal Malaysia dalam usaha memastikan undang-undang sekuriti kekal relevan,

Kajian semula tersebut adalah sebahagian daripada usaha SC untuk menjadikan CMSA lebih moden dan menggalakkan kecekapan yang membolehkan pasaran modal kekal
berdaya saing sambil mengekalkan perlindungan pelabur.

Bagi tujuan itu, SC mempelawa maklum balas orang ramai berkenaan bahagian dan bidang bawah CMSA yang berkaitan tadbir urus produk, pendedahan, proses kelulusan
untuk cadangan korporat dan pengambilalihan.

Maklum balas awam ini bertujuan untuk memastikan kesempurnaan kajian semula tersebut dan dalam melengkapkan penglibatan industri yang berterusan dan perundingan kumpulan fokus.

Pendekatan inklusif ini akan membolehkan SC mengambil kira semua isu yang menjadi kebimbangan melalui proses semakan yang telus.

Dengan mendapatkan input daripada pihak berkepentingan seluruh industri, SC juga boleh mengenal pasti jurang berpotensi dan mendapatkan pandangan yang bermanfaata dalam menambah baik
CMSA.

Pihak awam serta orang ramai yang berminat digalakkan untuk mengemukakan komen, maklum balas dan pertanyaan mereka kepada SC sebelum 16 Jun 2023 di [email protected]. – MalaysiaGazette