Noraini Ahmad.-Foto AFFAN FAUZI, 14 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Wanita UMNO Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang usaha yang boleh mencemarkan kemuliaan agama Islam di Malaysia.

Ketuanya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menegaskan, Kerajaan Perpaduan perlu bertindak dengan lebih tegas dalam isu yang melibatkan kemuliaan Islam.

Noraini berkata, isu sensitif perlu diuruskan dengan berhemah bagi menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Wanita UMNO Malaysia berpandangan, isu-isu sensitif sebegini perlu diperhalusi dan ditangani secara berhemah.

“Dan kenyataan-kenyataan yang di keluarkan perlulah dibuat secara berhati-hati demi menjaga keharmonian masyarakat majmuk serta kemuliaan agama Islam.

“Wanita UMNO Malaysia mendesak kerajaan perpaduan tegas dalam menangani isu-isu sebegini. Wanita UMNO Malaysia ingin menegaskan juga bahawa kami tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan yang boleh mencemarkan kemuliaan Islam sebagai agama rasmi di negara ini,” katanya.

Noraini diminta mengulas mengenai tindakan Kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai penggunaan kalimah Allah, Baitullah, Solat dan Kaabah.

Media semalam melaporkan, Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman berkenaan difailkan Pejabat Peguam Negara pada 18 April lalu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya.

Masyarakat Islam termasuk pemimpin Islam dan beberapa mufti berpandangan kalimah Allah hanya wajar digunakan oleh penganut Islam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan hari ini berkata, penarikan rayuan itu disebabkan berlaku percanggahan arahan pentadbiran KDN dan Kabinet pada tahun 1986.

Menurut Saifuddin, ia melibatkan percanggahan perundangan sivil berkaitan rampasan bahan penerbitan ketika itu dan bukannya isu teologi melibatkan penggunaan kalimah Allah.

KDN, ulas Saifuddin, telah memperhalusi dan meneliti keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac 2021 dan mendapati berlaku percanggahan arahan pentadbiran yang menyebabkan keputusan berpihak kepada Jill Ireland.

Justeru, kementeriannya sedang mengkaji dan mengemas kini satu arahan pentadbiran lebih menyeluruh bagi menangani isu penggunaan kalimah Allah dalam bahan penerbitan.-MalaysiaGazette