Nasrul Ali Hasan Abdul Latif

KUALA LUMPUR – Wira Putra mengecam pendirian kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bagi penganut Kristian menggunakan kalimah Allah, Baitullah Kaaba dan solat dalam penerbitan agama berkenaan.

Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif menegaskan, di mana letaknya ketinggian agama Islam seperti termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan pada mata kerajaan madani?

Tegas beliau, penggunaan kalimah Allah yang dihadkan sebelum ini jelas bagi mengelakkan penyelewengan, penyalahgunaan dan kekeliruan dari segi istilah serta bahasa digunakan antara orang Islam dan bukan Islam.

“Jangan kerana nak menunjukkan keterbukaan kerajaan madani akhirnya tergadai akidah dan berlaku kecelaruan anak muda Islam masa depan.

“Keputusan ini jelas menunjukkan konsep madani yang diketengahkan pemimpin Islam dalam UMNO, PKR dan Amanah bercelaru dan hanya retorik semata-mata.

“Kesucian agama Islam bukanlah perjuangan yang benar dan bersungguh-sungguh bagi mereka,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lalu.

Menurut Nasrul Ali Hasan, KDN sepatutnya tegas mempertahankan kesucian kalimah Allah serta memastikan perkara sensitif seperti itu tidak dibangkitkan.

Ini katanya, bagi memastikan kestabilan dan perpaduan yang dicanang tidak berakhir dengan pertelingkahan serta persengketaan antara penganut agama di Malaysia.

Justeru, beliau menggesa Menteri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan kerajaan Malaysia memberi penjelasan dan justifikasi yang lengkap mengapa ia ditarik semula. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast