Pesawat pertama AirAsia ke Kertajati Indonesia disambut dengan pancuran air sebagai gimik pelancaran laluan penerbangan baharu syarikat itu, hari ini.

KERTAJATI, Indonesia – AirAsia Malaysia mahu mengukuhkan kedudukannya di Asia selepas kemerosotan selama tiga tahun dalam industri pelancongan disebabkan pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Riad Asmat berkata, pengenalan laluan baharu di Kertajati, Indonesia hari ini adalah penting kepada AirAsia untuk meluaskan kedudukannya di negara ini.

Ketika ini, AirAsia Malaysia melakukan penerbangan ke 12 destinasi di Indonesia dari tempoh pandemik dengan terdapat banyak perkara perlu dipulihkan semula kepada tahap sebelum wabak itu.

“Kami akan berkembang lagi dan tidak lama lagi, kami akan melancarkan laluan baharu, khususnya di Indonesia,” katanya kepada media Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kertajati, Indonesia, di sini hari ini.

Terdahulu, AirAsia Malaysia meraikan penerbangan sulungnya dari Kuala Lumpur ke Kertajati di Jawa Barat, Indonesia.

Penerbangn yang berlepas dari Terminal 2 pada 9.05 pagi, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kertajati pada 10.20 pagi waktu tempatan.

AirAsia merupakan syarikat penerbangan pertama yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Kertajati, Indonesia.

Syarikat berkenaan menawarkan dua penerbangan secara mingguan dan ia merupakan satu-satunya hubungan antarabangsa dari Kertajati, membawa kawasan metropolitan Bandung Raya dan Cirebon serta sebahagian wilayah Jawa Barat dan Jawa Tengah lebih dekat dengan Kuala Lumpur.

Menurut Riad, sebagai sebuah kumpulan, syarikat penerbangan yang mempunyai hubungan luas di ASEAN dan Asia Pasifik, bersama syarikat sekutunya, Indonesia AirAsia,
kedua-duanya berbesar hati untuk terus memainkan peranan dalam membawa pelancong asing secara terus ke pelbagai bandar popular di Indonesia dan Malaysia.

“Kami berharap dapat menyumbang dengan ketara kepada sasaran kedua-dua kerajaan untuk menarik jutaan pengunjung asing pada 2023,” ujarnya.

Sempena meraikan penerbangan sulung itu, AirAsia menawarkan tambang sehala daripada RM141 dari Kuala Lumpur ke Kertajati.

Tambang dengan nilai tambah juga boleh didapati untuk penerbangan pergi balik daripada 616,600 rupiah untuk semua dan sehala.

AirAsia menawarkan promosi dari sekarang hingga 21 Mei ini bagi tempoh perjalanan antara 1 Jun dan 14 Disember nanti. – MalaysiaGazette