Dr. Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) akan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi mencari penyelesaian berhubung isu pembayaran cukai tertunggak individu meninggal dunia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama, Datuk Mohd Na’im Mokhtar berharap satu kata sepakat dapat dicapai daripada muzakarah itu bagi mengelakkan kekeliruan umat Islam di negara ini mengenai pembayaran cukai tertunggak individu yang meninggal dunia.

Kenyataan ini dikeluarkan susulan perbezaan pandangan antara dua mufti, Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor dan Mufti Pahang Abdul Rahman Osman berhubung perkara itu.

Berhubung isu ini, Wan Salim berpandangan waris simati harus membayar tunggakan cukai tetapi menurut Abdul Rahman pewaris harta pusaka pembayar cukai pendapatan yang sudah meninggal dunia tidak perlu membayar cukai tertunggak ditinggalkan.

Isu ini berbangkit selepas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Mohd Nizom Sairi berkata, waris bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang komitmen si mati termasuk pengurusan cukai pendapatan.

Ia berdasarkan Seksyen 74 Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) yang menetapkan sebarang tunggakan cukai pendapatan tidak boleh dihapuskan secara automatik walaupun individu terbabit disahkan meninggal dunia.

“Kita akan cari jalan untuk selesaikan sebarang percanggahan berkaitan agama Islam,” kata Mohd Na’im dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya MKI dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengambil inisiatif menjalankan kajian syarak berhubung perkara itu. – MalaysiaGazette