Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) meraikan sambutan Hari Jururawat Negeri Pahang di Auditorium Kulliyah of Science IIUM, di Kuantan hari ini

KUANTAN – Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) meraikan sambutan Hari Jururawat Negeri Pahang di Auditorium Kulliyah of Science IIUM, di Kuantan hari ini.

Pengarahnya, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, sambutan tersebut diraikan sempena tarikh 12 Mei sebagai Sambutan Hari Jururawat Sedunia merupakan simbolik bagi menghargai profesion kejururawatan melibatkan semua 5,809 jururawat di negeri ini.

Menurutnya bilangan jururawat itu merupakan paling ramai dalam organisasi kesihatan di Pahang merangkumi 32.4 peratus daripada bilangan keseluruhan 17,664 orang.

Sambutan pada kali ini disertai Unit Kejururawatan Negeri Pahang, Kulliyah Of Nursing IIUM, Persatuan Jururawat Malaysia Cawangan Pahang, Kesatuan Jururawat Malaya Cawangan Pahang dan Kelab Jururawat Negeri Pahang.

”Tarikh 12 Mei telah dipilih berikutan ulang tahun kelahiran ‘Florence Nightingale’ yang mana beliau adalah merupakan seorang jururawat telah membangunkan bidang kejururawatan moden.

”Beliau mengingatkan kita supaya sentiasa memandang jauh ke hadapan dalam meningkatkan kemahiran perkhidmatan kejururawatan, dengan mengikut perubatan serta permintaan semasa dan pada masa akan datang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya Tema Sambutan Hari Jururawat pada tahun ini yang ditetapkan oleh International Council of Nurses (ICN) adalah ’Our Nurses. Our Future’ atau ’Jururawat Kami, Masa Depan Kami’.

Tema tersebut menunjukkan betapa pentingnya fungsi jururawat  bagi menjamin masa depan masyarakat yang sihat.

Pembangunan bidang kejururawatan serta kemahiran para jururawat amat penting bagi memastikan peningkatan kualiti perkhidmatan kesihatan negara kita.

Dr. Nor Azimi berkata, pandemik yang telah dilalui menunjukkan betapa pentingnya perkhidmatan kejururawatan bukan sahaja sebagai barisan hadapan, tetapi setiap jururawat adalah penting sama ada di hospital mahupun di kesihatan awam.

Tambahnya jururawat juga disimbolkan sebagai nadi kepada organisasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

”Pihak JKNP percaya kemampuan jururawat di Negeri Pahang, kita dapat memenuhi permintaan penjagaan pesakit yang kian meningkat.

”JKNP sangat menghargai usaha yang diberikan oleh semua anggota jururawat khususnya semasa pandemik COVID-19 yang mana jururawat sanggup meninggalkan keluarga demi menggalas tanggungjawab dengan penuh ikhlas dan komitmen yang tinggi dalam menjalankan tugas,” katanya. – MalaysiaGazette