Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Lima lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menculik seorang jurujual bagi mendapatkan wang tebusan berjumlah RM1.12 juta, bulan lepas.

Suhaimi Mat Zin, 41, Wong Guo Song, 33, Yong Zi Hui, 25, Zulkarnain Ramli, 46, dan Muhammad Azam Hatan, 32, mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka didakwa bersama-sama dengan individu lain yang masih bebas telah didapati menahan, menculik dan mengurung Lau Jia Kin, 39, untuk mendapatkan wang tebusan berjumlah RM1.12 juta di Jalan Mesra Ria, Bandar Sri Petaling di sini pada 10.30 malam, 29 April lepas.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Empat tertuduh iaitu Suhaimi, Wong, Yong dan Zulkarnain masing-masing diwakili peguam Muhammad Ashraff Mohd Diah, Azinuddin Karim, Izzati Yaacop dan Tharamjit Singh manakala Muhammad Azam tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sareeka Balakrishnan.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 Julai untuk sebutan semula kes. – BERNAMA