Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan melibatkan pelbagai kesalahan termasuklah memiliki senjata api, dadah dan melepaskan tembakan ke atas anggota polis.

KOTA TINGGI – Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan melibatkan pelbagai kesalahan, termasuk memiliki senjata api, dadah dan melepaskan tembakan ke atas anggota polis.

Tertuduh, Muhamad Firdaus Paiman, 35, yang tidak mempunyai kaki kiri membuat pengakuan itu di Mahkamah Sesyen selepas empat pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Safie.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa memiliki pistol jenis Beretta Gardone VT dan selaras senapang patah buatan sendiri dengan menyalahi undang-undang dalam sebuah kereta di tepi Masjid Al Ikhwan Gugusan Adela pada kira-kira jam 1 pagi 10 Mei lalu.

Pendakwaan terhadap tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan boleh dihukum maksimum 14 tahun serta sebatan maksimum enam kali.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki tiga butir peluru jenis Kartus 12 Bore dan empat butir peluru jenis 9mm tanpa lesen senjata pada tarikh dan waktu yang sama.

Pertuduhan ketiga, duda kepada dua orang anak itu didakwa memiliki selaras senapang angin buatan sendiri tanpa lesen senjata pada kira-kira jam 2.30 pagi 10 Mei 2023 di sebuah rumah dekat Felda Tunggal.

Pertuduhan keempat, lelaki berkenaan turut didakwa memiliki satu butir peluru jenis Kartus 12 Bore tanpa lesen senjata pada tarikh dan waktu yang sama.

Bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat, tertuduh didakwa dibawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang mana boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Irsyad Mardi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sazlina menetapkan 15 Jun ini bagi sebutan semula kes dan keputusan penghakiman sementara menunggu laporan kimia.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Kota Tinggi, di sini, Muhamad Firdaus mengaku bersalah atas tiga pertuduhan di hadapan Majistret Rashidah Baharom

Pertuduhan pertama, dia didakwa telah melepaskan tembakan menggunakan senjata api dengan niat menyebabkan kecederaan terhadap Lans Koperal Mohd Shafiq Nazrin Razali bagi menghalang penangkapannya di bulatan Lotus Desaru Bandar Penawar, Pengerang kira-kira pukul 3.35 petang pada 7 Jun 2016.

Bagi pendakwaan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman mati.

Pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki dadah jenis Nimetazepam seberat 0.44 gram di tepi jalan Masjid Jamek Al Ikhwan Gugusan Felda Adela di sini kira-kira pukul 1 pagi pada 10 Mei lalu.

Bagi pendakwaan itu dia didakwa di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 12(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau maksimum penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan ketiga, tertuduh turut didakwa memiliki dadah jenis Kanabis seberat 0.90 gram di lokasi dan masa yang sama dan boleh dihukum dibawah Seksyen 6 Akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Khairuddin Khalid.

Rashidah kemudian menetapkan 6 Julai untuk sebutan semula kes berkenaan dan memindahkan kes tersebut di Mahkamah Majistret Pengerang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast