Tengku Zafrul (tengah) di bawah meninjau sekitar bangunan baharu 6 (B6) di Composites Technology Research Malaysia (CTRM), Batu Berendam, Melaka yang dirasmikannya hari ini.

MELAKA – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, (MITI) menyasarkan nilai eksport industri aeroangkasa meningkat kepada RM23.7 bilion tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia merupakan peningkatan antara 15 hingga 20 peratus berbanding RM19.8 bilion tahun lalu.

Menurutnya, pertumbuhan itu antaranya akan disokong oleh peningkatan tempahan yang diterima syarikat aeroangkasa tempatan pada tahun ini.

“Tahun ini, kita sasarkan nilai eksport industri aeroangkasa meningkat antara 15 hingga 20 peratus (RM23.76 bilion) berbanding RM19.8 bilion tahun lalu.

“Pada tahun 2021, total trade (jumlah dagangan) aeroangkasa ialah RM13.8 bilion,” katanya selepas merasmikan bangunan baharu 6 (B6) di Composites Technology Research Malaysia (CTRM), Batu Berendam hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul turut mengumumkan kejayaan CTRM sebagai syarikat pene­raju teknologi komposit untuk industri aeroangkasa mengikat kontrak baharu pembuatan komponen Airbus dengan nilai kumulatif sebanyak RM6.64 bilion sehingga 2030.

“Hari ini saya mengumumkan CTRM telah dianugerahkan sebuah kontrak baharu bagi pembuatan atau pengeluaran komponen aero kepada beberapa vendor tier 1 atau tahap satu yang membekal kepada syarikat kapal terbang bertaraf global iaitu Airbus.

“Nilai kontrak terbaharu CTRM ini adalah RM3.4 bilion bagi tempoh 2022 sehingga 2030, dengan nilai kontrak secara kumulatif adalah RM6.64 bilion.

“Bagi saya, ini jelas membuktikan syarikat multinasional terkemuka menganggap lansdkap industri aeroangkasa negara stabil dan juga kondusif bagi rantaian bekalan mereka tetutamamya di peringkat global,” katanya.

Tambahnya, kontrak baharu itu juga akan meningkatkan perolehan bagi Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui rantaian bekalan domestik sebanyak 25 peratus.

Kementerian jug katanya amat menghargai usaha berterusan CTRM ke arah operasi mampan, termasuklah pemasangan panel solar di atas bumbung untuk menggunakan tenaga boleh diperbaharui. – MalaysiaGazette