Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani . Foto MUHD NA’IM, 18 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan siasatan terhadap isu kalimah Allah dan menyerahkan kepada kerajaan untuk menyelesaikannya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, polis sudah menjalankan siasatan berhubung perkara berkenaan dan beliau percaya taklimat mengenai isu tersebut akan dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja.

“Saya percaya isu terbabit sudah pun diselesaikan dengan baik dan saya rasa eloklah kita selesai di situ (Majlis Raja-Raja) dan tidak ada lagi isu yang timbul,” katanya selepas majlis Hi-Tea Bersama Media di Mess Pegawai Kanan Bukit Aman, di sini, hari ini.

Pada 10 Mac tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan semakan kehakiman Jill Ireland yang mahu mendapatkan pengisytiharan bahawa dia mempunyai hak menggunakan kalimah Allah untuk tujuan agama dan pendidikan.

Mahkamah Tinggi juga memutuskan bahawa arahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 1986 yang melarang orang bukan Islam menggunakan kalimah “Allah”, “Baitullah”, “Kaabah” dan “solat” sebagai menyalahi undang-undang dan bertentangan dengan perlembagaan.

KDN dan kerajaan kemudiannya memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan pada 15 Mac tahun yang sama.

Namun kerajaan dan KDN kemudian menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat, dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan Kabinet mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ‘Allah’ kepada Majlis Raja Raja. – MalaysiaGazette