PDRM
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang pembantu projek berkerugian RM58,800 selepas menjadi mangsa penipuan urusan pelaburan di dalam aplikasi Telegram membabitkan suspek tidak dikenalinya.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pada 14 Mei lalu, pihaknya menerima satu laporan seorang lelaki warga tempatan berusia 37 tahun berkaitan tipu dalam urusan pelaburan di aplikasi Telegram melibatkan kerugian sebanyak RM58,800.

Pengadu mendakwa telah berkenalan dengan seorang individu melalui aplikasi Telegram pada 17 Mac yang lalu namun pengadu tidak melayan individu tersebut.

“Selepas itu, pada 27 April lalu, pengadu telah mula berkomunikasi dengan individu tersebut dan telah berminat dengan pelaburan yang ditawarkan iaitu Bitfine yang mana pengadu telah menerima pulangan sebanyak RM543 dan ini membuatkan pengadu yakin dengan pelaburan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ahmad Sukarno, hasil siasatan lanjut, polis mendapati pengadu telah membuat pembayaran secara berperingkat sejak 27 April lalu sehingga 8 Mei lepas sebanyak lapan transaksi ke dalam lima jenis akaun bank berbeza yang diberikan sindiket penipuan pelaburan membabitkan wang berjumlah RM58,800.

Kes berkenaan sedang disiasat polis di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau pada masa sama menasihati orang ramai supaya  berhati-hati dengan segala taktik penipuan jenayah scammer yang menyebabkan ramai mangsa telah terpedaya.

Sebarang pertanyaan berkaitan, orang ramai boleh menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997, katanya.

Sebagai langkah pencegahan orang ramai dinasihatkan untuk membuat semakan dengan melayari laman sesawang https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ bagi
membuat semakan akaun yang terlibat dalam sebarang kes penipuan dan sekiranya terdapat sebarang maklumat atau aktiviti yang mencurigakan melibatkan sindiket seperti ini diminta untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482222.- MalaysiaGazette