Seramai 21 individu diberkas positif dadah di sebuah pusat hiburan di Jalan Burma, Pulau Pinang awal pagi tadi.

GEORGE TOWN – Seramai 21 individu diberkas positif dadah di sebuah pusat hiburan di Jalan Burma di sini awal pagi tadi.

Serbuan bermula pukul 12.30 tengah malam itu dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen  (IPK) Pulau Pinang.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, seramai 54 individu diperiksa dalam operasi berkenaan sebelum mendapati 21 daripadanya positif dadah.

Khaw Kok Chin.

“Kesemua mereka yang ditahan berusia lingkungan 20 hingga 35 tahun dan terdiri daripada sembilan wanita serta 12 lelaki.

“Selain itu, kesemua wanita yang ditahan merupakan warga Thailand serta China.

“Rata-rata yang ditahan positif dadah jenis methamphetamin, amphetamin dan lain-lain,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Turut dirampas 10 peket berisi serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 275 gram.

Pihak polis melakukan pemeriksaan di sebuah pusat hiburan di Jalan Burma, Pulau Pinang hari ini.

Tambah Kok Chin, kesemua tangkapan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama. – MalaysiaGazette