Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan sumbangan Asnaf kepada Nur Adila Ghazali, 25 etika hadir pada Majlis Riang Raya Majlis Perwakilan Pelajar di UiTM Puncak Alam. Foto MOHD ADZLAN, 18 MEI 2023.

SHAH ALAM – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengajak mahasiswa dan mahasiswi Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk bersama dengan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Anwar tentunya lebih memahami kehendak kekurangan dan keperluan, selain kehendak mereka kerana beliau juga pernah bergelar penuntut universiti.

Kata beliau, Kerajaan Perpaduan bukan seperti kerajaan terdahulu yang semua betul dan semua tahu sehingga mengetepikan setiap pandangan serta cadangan daripada mahasiswa.

“Zaman kerajaan betul semua, tahu semua telah berlalu. Kerajaan hari ini bawah pimpinan Anwar yang disokong oleh sokong, rakan Kabinet dan barisan kepimpinan parti sangat terbuka dengan pemikiran anak muda.

“Kita tahu Anwar mempunyai idealisma yang tinggi kerana beliau juga berada di zaman remaja, zaman muda dan kita tahu beliau tahu cita rasa kepimpinan pelajar.

“Kini, anda adalah aset negara masa kini dan masa depan. Maka rasa anti establishment yang menjadi sebahagian daripada perjuangan saya di universiti era 60 an hingga pertenggahan 70-an telah bertukar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Riang Raya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di UiTM Puncak Alam, dekat sini, petang ini.

Terdahulu, kehadirannya disambut Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Ros dan Yang Dipertua MPP UiTM Shah Alam, Mohamed Yusof Hassan Roslan.

Dalam majlis itu, Ahmad Zahid menyatakan sangat teruja kerana dijemput menghadiri program bersama mahasiswa dan siswi UiTM.

Katanya, pada zaman pengajiannya, suasana kampus dan persatuan mahasiswa amat berbeza sebelum Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 diperkenalkan.

Menurut beliau, pada eranya, segala pandangan, cadangan, teguran disekat oleh kerajaan sehingga beliau dan kumpulannya digelar anti establishment serta ditahan bawah Akta Keselamatan Negeri (ISA).

Namun, apabila AUKU diperkenalkan, ia merupakan satu anjakan kebebasan berpersatuan oleh mahasiwa siswi yang diberi hak kebebasan bersuara.

“UiTM umpamanya sangat bernasib baik kerana mempunyai akta sendiri dan ini memberikan kelebihan kepada MPP serta pelajarnya untuk sedikit berbeza dengan mahasiswa mahasiswi universiti lain, bukan sahaja dari segi aktiviti, tetapi menyuarakan pendapat.

“Dengan terdapatnya lebih sejuta pelajar sejak ditubuhkan, ia menunjukkan UiTM sebuah universiti awam yang sangat berbeza dan mereka harus membuktikan keistimewaan ini sentiasa dijaga.

“Anda bukan lagi berada dalam kumpulan anti establishment kerana perubahan telah berlaku dan anda boleh menyalurkan pandangan, biarpun berbeza pendapat dengan saluran betul yang disediakan kerajaan,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, perubahan ini amat berjaya kerana kerajaan hari ini memahami cita rasa mereka dan melayani serta meraikan perbezaan pendapat.

Ini kerana, kerajaan amat komited untuk membentuk landskap masa depan negara dan bergantung kepada sumbangan mahasiswa untuk membentuk generasi Malaysia baharu yang bakal diwarisi mereka.

Dalam majlis itu juga, Ahmad Zahid mengumumkan pemberian peruntukan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap kampus di seluruh negara.

Katanya, belai akan memaklumkan kepada Perdana Menteri dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk menyediakan keperluan seperti bas dan beberapa kemudahan lain.

Beliau mahu MPP menggunakan peruntukan itu sebaik mungkin seperti untuk berinteraksi dengan rakan di kampus, aktiviti berfaedah kepada pelajar dan membantu mereka yang memerlukan Menu Rahmah.

“Insya-Allah jika aktiviti berjalan baik, saya akan datang lagi untuk tambah peruntukan,” katanya berseloroh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast