Antara jentera yang dirampas daripada sekumpulan 11 suspek yang terlibat dalam aktiviti haram buang sampah dan korek pasir dan tanah di tanah rezab sungai Klang di Shah Alam.Ihsan IPD Shah Alam

KUALA LUMPUR – Polis berjaya membongkar aktiviti pencerobohan tanah rizab kerajaan di Sungai Klang dengan tertangkapnya 11 orang lelaki.

Mereka dikatakan menjadikan tanah rizab itu untuk tapak pembuangan dan penambakan sampah, sisa pepejal, pengorekan pasir sungai dan tanah.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan awal polis mendapati pencerobohan tanah rizab itu dilakukan sejak September 2022.

“Bertindak atas risikan dan maklumat, polis telah membuat serbuan pada 9 Mei lalu di tanah rizab Sungai Klang, Seksyen 36 Shah Alam sebelum berjaya menangkap seramai 11 orang lelaki yang terdiri daripada lapan warga tempatan, dua lelaki warga Indonesia serta seorang lelaki warga India,” katanya.

Tambah Mohd Iqbal, daripada hasil serbuan dan tangkapan suspek terbabit, pasukannya berjaya melakukan rampasan sebanyak empat buah lori roro, tiga buah trak jenis pikap.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati kesemua suspek saling mengenali antara satu sama lain dan bekerja sebagai kontraktor serta pemandu lori di bawah syarikat yang berbeza.

Kesemua suspek telah direman dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan.

Malah, kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Selangor.

“Polis telah mendapat arahan pejabat TPR Selangor agar kesemua 11 suspek itu dituduh di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda RM3,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya lagi.

Malah, seorang akan di tuduh di bawah Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa di Malaysia dan dua lagi suspek akan didakwa di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

Jika disabitkan kesalahan mereka, ketiga-tiga suspek warga asing boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda tidak kurang RM10,000.00 atau kedua-duanya atau enam kali sebatan.

Kesemua suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret 1,2,3 dan 6 di Shah Alam pagi ini. – MalaysiaGazette