Vijay Sethupathi (tengah) pada hari pertama penggambaran di Ipoh hari ini.

IPOH – Kehadiran pelakon terkenal India Selatan, Vijay Sethupathi untuk penggambaran filem terbaharunya selama hampir 35 hari mendapat sokongan penuh kerajaan Perak.

MalaysiaGazette difahamkan kru produksi kira-kira 90 orang dari India itu akan melakukan penggambaran sekitar negeri itu, menurut Penasihat Khas kepada Exco Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak, K Novinthen.

Menurutnya, pihaknya amat mengalu-alukan kehadiran Vijay Sethupathi yang juga memiliki peminat dari seluruh dunia itu.

Menurutnya, kerajaan negeri telah tampil menghulurkan pelbagai bentuk bantuan kepada keseluruhan produksi dari India bagi membolehkan penggambaran dilakukan dengan baik.

“Kerajaan negeri telah bantu dalam pelbagai bentuk termasuklah memberikan kelulusan serta permit untuk melakukan penggambaran di lokasi hotspot, juga mendapatkan banyak diskaun sehinggalah 50 peratus bagi kemudahan pengangkutan, tempat tinggal, makan dan logistik lain-lain.

“Sememangnya bantuan-bantuan ini inisiatif kerajaan untuk mengalu-alukan sebarang potensi pelaburan. Jutaan ringgit dilaburkan juga untuk tujuan penggambaran seperti ini, untuk pengetahuan nama besar seperti Vijay Sethupathi selalunya menghasilkan filem blokbuster dengan kutipan ratusan juta.

“Selain itu, melalui penggambaran seperti ini akan memberikan peluang pekerjaan yang besar, contohnya, selain kru produksi dari India, kita ada lagi kru tempatan yang disertai oleh lebih 100 warga tempatan untuk tempoh lebih sebulan.

“Untuk penggambaran klimaks pada empat hari terakhir, produksi ini akan memerlukan lebih ramai pekerja termasuklah artis-artis tambahan dan sebagainya.

“Selain Perak, filem pecah panggung yang akan membantu potensi destinasi negara terutamanya keunikan kita ditonjolkan selain jana pendapatan. Saya amat yakin kehadiran Vijay Sethupathi ke sini akan beri impak positif,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Penasihat Khas kepada Exco Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak, Mohd Azlan Helmi iaitu K Novinthen.

Untuk makluman, filem terbaharu Vijay Sethupathi  masih lagi dirahsiakan tajuknya namun ia berkisarkan genre komedi romantis akan turut dibintangi oleh pelakon wanita baru, Rukhmani Vasanth selain pelakon komedi, Yogi Babu dan beberapa artis terkenal  lain.

Nama Vijay Sethupathi  bukanlah asing malah sudah berlakon lebih 80 buah filem dengan kebanyakan mencapai kutipan pecah panggung dengan yang terbaru beberapa bulan lepas bertajuk Vidhuthalai 1– MalaysiaGazette